Tuesday, June 3, 2008

Majikan tidak wajar abai pekerja menderita penyakit mental

Masalah kesihatan mental terutamanya yang bersangkutan dengan tekanan mental hendaklah ditangani dengan segara supaya masalah seperti tekanan, kemarahan dan keganasan, kemurungan dan kejadian bunuh diri dapat dielakkan.

Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) berpendapat langkah segera perlu diambil untuk menangani masalah kesihatan mental di tempat kerja yang melibatkan majikan, pekerja dan pihak berkuasa yang terlibat.

Pengabaian faktor kesihatan mental dan psikososial di tempat kerja bukan sahaja merugikan pekerja tetapi juga memberi kesan secara langsung terhadap kecekapan, keberkesanan dan hasil sesuatu perusahaan.

Di mana terdapat kes pekerja yang menderita dari penyakit mental, majikan perlu memberi pertolongan dan bantuan dalam bentuk kaunseling dan rawatan.

Prestasi pekerja, kekerapan jatuh sakit, ketidakhadiran, kemalangan dan pusing-ganti pekerja akan terjejas oleh keadaan kesihatan mental pekerja.

Tiada negara atau individu yang terkecuali daripada gangguan mental dan kesannya ke atas keadaan psikologikal, sosial dan ekonomi adalah tinggi. Kesihatan mental tidak lagi boleh diabaikan sebaliknya ia perlu diberikan perhatian sama seperti masalah kesihatan yang lain.

Kesihatan mental bukan sekadar berkenaan penyakit mental. Ia adalah perasaan kesejahteraan, keupayaan menghadapi cabaran dan untuk memastikan sikap positif terhadap diri sendiri.

Isu kesihatan mental di tempat kerja, harus diberikan perhatian kerana produktiviti pekerja di dalam sesuatu organisasi bergantung pada tahap kesihatan mental mereka.

Kemalangan Industri yang telah berlaku di negara selama ini amat membimbangkan kerana setiap kemalangan yang dilaporkan melibatkan tenaga pekerja yang mahir dan terlatih.

Kemalangan akan meninggalkan kesan sama ada dari segi fizikal, sosial atau mental ke atas individu yang mengalaminya. Bukan itu saja, kemalangan juga akan menjejaskan kecekapan atau efisiansi sesebuah syarikat dan lebih buruk lagi, pekerja tidak lagi dapat memberikan sumbangan yang sepenuhnya akibat ditimpa kemalangan di tempat kerja.

Oleh itu, adalah tidak lagi memadai dengan hanya mengadakan arahan kerja kepada pekerja tanpa melengkapkan mereka dengan pendidikan dan latihan yang sesuai untuk membantu mereka memahami kepentingan dalam mengurangkan risiko keselamatan dan kesihatan mereka.

No comments: