Wednesday, October 22, 2008

Perpaduan dan Keamanan harus dikekalkan

Surat Kepada Pengarang

Kenyataan Khas oleh Majlis Raja-Raja yang dibuat sebelum mesyuarat Majlis tersebut pada Khamis lalu, adalah sesuatu yang sangat bermakna memandangkan terdapat banyak kontroversi yang ditimbulkan oleh ahli-ahli politik tertentu yang mencetuskan kebimbangan mengenai hak dan perlindungan kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Kenyataan tersebut yang menyentuh isu Kontrak Sosial, keperluan untuk
menghormati Perlembagaan, hak semua kaum, kedudukan raja-raja, status agama Islam dan Bahasa Malaysia dan lain-lain, adalah merupakan peringatan yang tepat pada masanya untuk kita semua mengenai tanggung-jawab kita terhadap perpaduan, keamanan dan keharmonian yang sangat penting kepada kejayaan dan kemakmuran negara kita yang berbilang kaum, ugama dan budaya ini.

Kepada saya ia adalah kenyataan mutlak yang menegaskan kesucian Perlembagaan Persekutuan dan peringatan terhadap jaminan yang terkandungan didalamnya kepada semua rakyat Malaysia.

Kenyataan yang datang dari Majlis Raja-Raja sendiri yang merupakan pelindung kepada Negara, adalah merupakan peringatan kepada mereka-mereka yang berterusan mengungkit-ungkit isu yang berbau perkauman yang boleh menjejaskan keamanan dan keharmonian di dalam negara kita.

Intipati dari kenyataan tersebut adalah mesej mengenai perpaduan, keamanan dan keharmonian yang amat diperlukan, yang tidak boleh diambil mudah walaupun telah 51 tahun kita menjadi Negara yang merdeka.

Janganlah kita menggugat apa yang kita telah capai setakat ini melalui semangat persefahaman dan tolak ansur. Janganlah kita benarkan sikap keterlaluan dan keganasan dalam bentuk apa pun memecah belahkan negara yang amat kita semua sayangi, tempat kita dilahirkan, tempat kita tinggal dan bekerja dan akhirnya tempat kita bersemadi nanti.

Benarkan saya menekankan sekali lagi asas-asas yang menyatukan kita bersama iaitu prinsip-prinsip yang terkandung didalam Rukunegara.

Rukunegara diujudkan pada tahun 1970 dengan tujuan untuk mencapai persetujuan paling minima terhadap aspirasi nasional dikalangan rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum, keturunan dan kebudayaan.

Selain dari meningkatkan perpaduan dikalangan rakyat, mengekalkan sistem demokrasi sebagai cara hidup, mewujudkan masyarakat yang adil, pendekatan yang liberal terharap budaya, disamping membangunkan masyarakat yang progresif berorientasikan sains dan teknologi; Rukunegara juga merupakan panduan sosial didalam bentuk prinsip-prinsip berikut:

i. Kepercayaan kepada Tuhan
ii. Kesetiaan kepada Raja dan Negara
iii. Keluhuran Perlembagaan
iv. Kedaulatan Undang-undang
v. Kesopanan dan Kesusilaan

Prinsip-prinsip ini yang telah berjaya menyatukan rakyat berbagai kaum dan agama dinegara ini dan menjadi prinsip kenegaraan kita, perlu disemaikan kepada generasi muda kita yang akan menjadi pemimpin dimasa akan datang.

Perlembagaan Persekutuan dan Rukunegara adalah merupakan panduan kepada kita didalam membangunkan negara dan perlu dihormati oleh semua. Ia adalah wawasan yang dikongsi bersama untuk perpaduan nasional.

Dimasa akan datang usaha terhadap mewujudkan dan mengekalkan perpaduan nasional perlu diberikan keutamaan yang paling tinggi kerana perpaduan adalah kritikal untuk memastikan pertumbuhan Malaysia sebagai negara yang selamat, aman, progresif dan bersatu.

Perpaduan adalah hadiah yang sangat berharga dan merupakan simbol kepada kemanusiaan kita. Ia merupakan asas untuk kita membangunkan hubungan, keluarga, masyarakat dan negara. Ia merupakan ikatan yang menyatukan kita sebagai sebuah negara.

Marilah kita menjemput semua rakyat Malaysia untuk membina perpaduan. Kita mesti mulakan dengan satu suara yang merangkumi semua rakyat Malaysia dari pelbagai keturunan. Kita semua menyumbang kepada kestabilan dan ekonomi negara. Marilah kita semua memberikan komitment untuk meningkatkan budaya aman, harmoni dan bersatu.

Perpaduan merupakan benang yang rapuh dan mudah putus, atau sauh yang kuat yang menyatukan negara. Terpulanglah kepada kita untuk membuat pilihan.

No comments: