Friday, September 26, 2008

Akta Hubungan Kaum perlu?

SAYA dukacita kerana selepas 51 tahun mencapai kemerdekaan, satu akta baru iaitu Akta Hubungan Kaum dicadangkan untuk diperkenalkan bagi mengawal hubungan antara kaum di negara kita demi mencapai keharmonian kaum.

Sekiranya pendapat saya diminta mengenai perkara tersebut, secara ikhlas saya akan menyatakan bahawa ia merupakan suatu yang janggal untuk mengadakan satu undang-undang mengenai perhubungan kaum di negara ini selepas 51 tahun merdeka.

Ia tidak menunjukkan usaha kita selama ini untuk mengeratkan perhubungan antara kaum di negara kita yang berbilang kaum ini mencapai kejayaan, dan sebaliknya perhubungan antara kaum adalah masih rapuh.

Ini menyebabkan kita terpanggil, terutamanya pihak kerajaan, untuk mencari punca kenapa perhubungan kaum di negara kita telah merosot dan bukannya bertambah maju.

Saya bersetuju dengan sebahagian daripada pandangan Profesor Emeritus Khoo Kay Kim bahawa terdapat segolongan ahli politik, bukan semua, yang mempunyai agenda sendiri yang perlu dipertanggungjawapkan terhadap keadaan ini.

Kenyataan berbau perkauman daripada mereka dari semasa ke semasa telah mewujudkan ketegangan dan bukannya perpaduan di kalangan orang ramai.

Tidak ada ruang untuk prasangka dan tanggapan buruk terhadap sesuatu bangsa dalam masyarakat berbilang kaum seperti kita.

Saya berharap pihak kerajaan akan memikirkan semula mengenai cadangan untuk mengadakan satu undang-undang untuk mengawal perhubungan kaum di negara ini.

Tetapi sekiranya kerajaan masih bertegas untuk meneruskan cadangan tersebut, ia perlu memberikan masa dan peluang untuk segenap lapisan masyarakat Malaysia memberikan pandangan dan maklum balas.

Pihak kerajaan tidak seharusnya tergesa-gesa dalam usaha memperkenalkan undang-undang baru yang mempunyai implikasi serius dan kesan meluas terhadap masa depan negara terutamanya dari aspek muhibah, harmoni dan perpaduan.

Saya berpendapat bahawa daripada mengadakan Akta Hubungan Kaum, adalah lebih baik kita mengadakan sebuah Institut Perhubungan Kaum yang boleh menyumbangkan idea dan program ke arah memperkukuhkan lagi hubungan antara kaum di negara kita.

Saya sering menegaskan bahawa adalah tidak wajar mengadakan satu undang-undang bagi tujuan menguruskan perhubungan kaum untuk meningkatkan perpaduan dan harmoni antara kaum.

Kita harus ingat bahawa perasaan muhibah, harmoni dan perpaduan tidak boleh dicapai melalui perundangan.

Menguruskan hubungan kaum harus dimulakan dengan individu itu sendiri. Sekiranya terdapat perasaan muhibah, harmoni dan perpaduan dalam hati, fikiran, emosi dan tindakannya, ia akan ditunjukkan apabila dia melayani orang lain.

Bagi mereka yang prihatin terhadap perhubungan kaum dan perpaduan dalam masyarakat majmuk di negara kita ini harus mengimbas kembali kenyataan yang dibuat pada November 2006 oleh Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah, iaitu cara yang paling sesuai untuk mewujudkan perhubungan kaum yang baik ialah dengan 'menyemaikan persefahaman dan menghormati antara satu sama lain'.

Ungkapan baginda, 'kesedaran bahawa kita semua adalah ciptaan Tuhan dan setiap daripada kita berhak untuk dilayani dengan cara yang bermaruah' adalah suatu ungkapan yang paling tepat dan sesuai.

No comments: