Tuesday, September 30, 2008

Budaya Anti-Jenayah

Usaha untuk membasmi atau mencegah jenayah tidak akan berkesan dan berkekalan kecuali seseorang itu bertekad dan bersedia untuk mengamalkan budaya anti-jenayah dan menjadikan keselamatan sebagai cara hidup.

Memandangkan kepada peningkatan kejadian jenayah dilaporkan di media massa, sudah sampai masanya pihak berkuasa serta semua lapisan masyarakat diberi kesedaran mengenai peri pentingnya tindakan yang pantas dan berkesan perlu diambil terhadap bukan sahaja penjenayah tetapi juga isu dan punca yang menimbulkan perlakuan jenayah.

Misalnya, aduan atau cadangan yang dikemukakan kepada pihak berkuasa yang berkenaan mengenai langkah yang boleh dilakukan untuk mengelak dari berlakunya kejadian jenayah perlu ditangani segera. Setiap aduan yang bersangkutan pencegahan jenayah perlu diberi perhatian.

Oleh kerana kejadian jenayah berlaku berterusan dan kenyataan bahawa pihak penguatkuasa undang-undang bersendirian tidak mampu mengatasi masalah tersebut, pihak kerajaan perlu mengadakan polisi dan program sosial yang berkesan untuk mengekang dan membasmi kejadian jenayah.

Dalam hubungan ini isu-isu mengenai kemelesetan ekonomi, pengangguran, pendatang tanpa izin dan lain-lain perlu ditangani dengan berkesan.

Walaubagaimanapun pihak kerajaan juga memerlukan pihak lain yang berkepentingan seperti para peniaga, penduduk, para professional dan orang ramai untuk membantu memerangi jenayah.

Oleh yang demikian pembuat dasar, ahli-ahli akademik dan pelbagai lapisan masyarakat perlu bersatu menghadapi cabaran dan menjadikan bandar, pekan dan komuniti selamat untuk didiami oleh penduduk.

Dalam hubungan ini, usaha berterusan perlu dilakukan untuk mengurangkan kadar jenayah dan perasaan takut terhadapnya di samping mewujudkan kejiranan dan bandar yang lebih selamat di mana perniagaan dan penduduk boleh maju tanpa jenayah.

Agenda untuk mengawal dan mencegah jenayah memerlukan usaha yang bersinergi, bersepadu dan bersungguh-sungguh dari semua pihak. Semua pihak mempunyai peranan dan tugas untuk dilakukan di dalam usaha memerangi jenayah.

Orang awam perlu diberi kesedaran bahawa tanggungjawab memerangi jenayah adalah tanggungjawab bersama. Sejak penubuhannya, MCPF terlibat secara aktif di dalam kempen kesedaran dengan berbagai organisasi yang berteraskan masyarakat untuk membantu meningkatkan kesedaran mengenai keperluan untuk tidak mengambil ringan keselamatan mereka tetapi sebaliknya menyertai aktiviti-aktiviti secara aktif untuk memerangi jenayah.

Melalui projek inisiatif Bandar dan kejiranan selamat, MCPF berharap dapat melibatkan penyertaan semua lapisan masyarakat di dalam mendidik orang ramai mengenai apa yang mereka perlu lakukan untuk mengelak kejadian jenayah.

No comments: