Tuesday, September 2, 2008

Kempen "CEGAH JENAYAH, LIBATKAN DIRI, KITA BOLEH MELAKUKANNYA BERSAMA"

Bersempena dengan pelancaran kempen pencegahan jenayah peringkat kebangsaan selama sebulan oleh Perdana Menteri, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia atau MCPF ingin menyeru semua rakyat Malaysia supaya mengambil bahagian didalam kempen tersebut dan membantu menyampaikan mesej “CEGAH JENAYAH, LIBATKAN DIRI, KITA BOLEH MELAKUKANNYA BERSAMA” kepada sebeberapa ramai rakyat Malaysia selaras dengan kenyataan bahawa pencegahan jenayah adalah tangggung-jawab bersama.

Jenayah dan aktiviti yang berkaitan jenayah telah menjadi isu yang amat membimbangkan semua rakyat Malaysia. Terdapat pandangan sesetengah orang yang beranggapan bahawa apa yang kita lakukan untuk mencegah jenayah setakat ini adalah tidak mencukupi.

MCPF sebagai badan bukan kerajaan yang terbesar yang terlibat dengan pencegahan jenayah memahami kebimbangan rakyat mengenai isu jenayah.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini MCPF telah mengadakan beberapa kempen pencegahan jenayah.

Bermula pada tahun ini kami telah membuat keputusan untuk mengadakan kempen di seluruh negara selama sebulan yang melibatkan semua cawangan kami di setiap negeri untuk mempertingkatkan kesedaran awam terhadap keperluan untuk kita bertindak bersama-sama untuk mencegah jenayah.

Apa yang lebih bermakna didalam usaha ini ialah selain dari mengadakan kempen dan aktiviti meningkatkan kesedaran pencegahan jenayah selama sebulan, MCPF juga telah mengambil langkah untuk mewujudkan perkongsian dengan kementerian, Jabatan dan Agensi yang relevan, pihak berkuasa tempatan, pihak swasta dan juga pelbagai badan bukan kerajaan yang komited terhadap pencegahan jenayah.

Lebih dari sejuta risalah telah dicetak didalam empat bahasa mengenai berbagai kaedah untuk mencegah jenayah yang memberikan fokus terhadap keselamatan diri, keselamatan rumah dan pejabat, pencegahan jenayah terhadap wanita, remaja dan kanak-kanak sekolah, dan juga orang kurang upaya. Disamping itu juga khidmat nasihat juga disediakan sepanjang kempen pencegahan jenayah selama sebulan tersebut.

Kempen pada tahun ini dibuat bersamaan dengan bulan kemerdekaan dan sesuai dengan semangat kemerdekaan.

Malaysia mencapai kemerdekaan dan telah bebas dari penjajahan. Tetapi kita masih belum bebas dari jenayah dan perasaan takut terhadap jenayah.

Inilah yang menjadi sasaran MCPF iaitu untuk membebaskan rakyat Malaysia dari jenayah dan aktiviti yang bersangkutan dengannya, yang bukan mudah untuk dilakukan.

Apa yang ingin dicapai oleh MCPF ialah supaya rakyat Malaysia menolak sama sekali jenayah, membina budaya anti jenayah dan menjadikan pencegahan jenayah sebagai cara hidup.

Usaha untuk memerangi jenayah dan penjenayah tidak akan berkesan atau bertahan lama kecuali kita bersedia untuk membina budaya anti jenayah dan menjadikan keselamatan sebagai cara hidup kita.

Stategi dan program pencegahan jenayah yang terbaik tidak akan berjaya sekiranya orang ramai tidak peka dan berhati-hati untuk mengurangkan peluang-peluang yang boleh digunakan oleh penjenayah untuk melakukan jenayah.

Kita perlu membantu memerangi jenayah dan dengan mengambil langkah mudah seperti berikut kita mampu membantu usaha tersebut. Diantara langkah yang perlu dilakukan ialah:

a) Kita perlu peka bahawa pencegahan jenayah adalah tanggung-jawab bersama.

b) Laporkan kepada polis sebeberapa segera apabila kejadian jenayah diketahui.

c) Berilah bantuan kepada mangsa penjenayah yang memohon bantuan. Siapa tahu anda juga akan memerlukan pertolongan yang sama satu hari nanti.

d) Jangan membiarkan diri anda menjadi sasaran mudah kepada penjenayah.

e) Jangan beri ruang dan peluang untuk jenayah berlaku.

f) Jadikanlah balai polis berdekatan anda, badan-badan NGO dan jiran-jiran anda sebagai rakan kongsi untuk memerangi jenayah dan memberikan bantuan yang sewajarnya untuk memerangi jenayah.

No comments: