Tuesday, September 16, 2008

Budi Bahasa, Teladan Kita

Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan kempen budi bahasa dan nilai-nilai murni.

Kempen ini adalah dirasakan perlu berdasarkan kemerosotan nilai-nilai murni dan kurangnya budi bahasa di kalangan sebilangan rakyat Malaysia.

Sifat kebiadaban dan tidak berbudi bahasa di kalangan rakyat dapat dilihat dari cara mereka berkelakuan di tempat awam dan juga di jalan raya.

Sikap tidak bertimbang rasa adalah merupakan suatu perkara yang biasa yang dapat dilihat dari cara pemanduan dan cara meletak kereta di jalan raya, memandu ke dalam kawasan kotak kuning; meletak kenderaan di mana terletaknya pili bomba; membuang sampah di tempat awam; merosakkan harta awam; memotong barisan dan tidak memohon maaf apabila melakukan kesilapan.

Isu-isu lain juga termasuk bercakap secara kasar dengan pelanggan; merokok di kawasan larangan merokok; meludah di tempat awam dan tidak memberikan tempat duduk untuk warga tua, kurang upaya dan juga wanita hamil. Terdapat juga banyak isu-su lain yang boleh disenaraikan dan hal ini adalah berlarutan.

Adalah tepat pada masanya bagi rakyat untuk menangani isu-isu ini dan bertanyakan pada diri sendiri sejauh mana mereka mengamalkan sikap berbudi bahasa dan nilai-nilai murni tersebut.

Manganjurkan kempen mempromosikan budi bahasa dan nilai-nilai murni ini adalah penting tetapi apa yang lebih penting ialah untuk menjadikan budi bahasa dan nilai-nilai murni yang telah dilancarkan itu sebagai suatu amalan harian.

Kepimpinan melalui teladan adalah perlu dalam menjayakan kempen tersebut. Sehubungan dengan itu, semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan harus memupuk nilai-nilai murni di kalangan kakitangan mereka.

Perkhidmatan awam contohnya, harus mempromosikan budi bahasa di kalangan staf di kaunter-kaunter yang berurusan dengan orang awam. Pengamalan asas kesopanan dan berbudi bahasa dalam menjawab panggilan telefon dan membalas surat-menyurat daripada orang awam mesti diamali oleh mereka yang bertanggungjawab dalam menjalankan tugas-tugas tersebut.

Kejayaan kempen tersebut juga perlu dimulakan dari kesedaran di peringkat bangku sekolah lagi di mana budi bahasa dan nilai-nilai murni perlu diajar.

Pencapaian Wawasan 2020 hanya akan menjadi lebih bermakna sekiranya kita mendapat menyemai budaya berbudi bahasa dan nilai-nilai murni di kalangan rakyat Malaysia.

No comments: