Wednesday, December 31, 2008

Jangan Lindungi Papan Tanda

Saya merujuk kepada laporan dalam muka “SURAT & E-MEL” bertarikh 16hb Disember yang memaparkan suatu gambar bertajuk “Papan Tanda jalan terlindung pokok” menyebabkan pemandu terutama dari luar kawasan sukar mencari jalan ke Seremban 2, Negeri Sembilan.

Sebenarnya masalah tersebut bukan sahaja wujud di Seremban. Masalah ini boleh dilihat di merata-rata tempat di seluruh negara.

Yang mendukacitakan orang ramai ialah banyak pihak berkuasa bertanggungjawab tidak mengambil apa-apa tindakan untuk mengatasinya demi kepentingan orang ramai.

Masalah ini wujud disebabkan oleh kekurangan penyenggaraan oleh penguasa tempatan atau pihak yang berkenaan yang gagal memotong daun dan dahan yang menutupi papan-tanda jalan tersebut.

Memang benar pokok ditanam ditepi jalan untuk penghijauan dan lanskap di tepi jalan. Tetapi ia boleh menyebabkan kesulitan kepada pemandu terutamanya mereka yang tidak biasa dengan jalan tersebut apabila papan-tanda jalan dilindungi oleh pokok-pokok atau dahan tersebut dari penglihatan pemandu.

Apa yang lebih serius ialah papan-tanda yang terselindung tersebut boleh mendatangkan masaalah keselamatan dan menyebabkan kemalangan.

Saya ingin mencadangkan kepada semua majlis tempatan dan pihak-pihak berkuasa yang berkenaan supaya melakukan penyenggaraan yang sepatutnya kepada kemudahan awam kita dengan memastikan papan-tanda jalan raya kita tidak dilindungi dari penglihatan pemandu.
Saya sering menyatakan bahawa budaya penyenggaraan tidak pernah menjadi kekuatan atau kelebihan kita walaupun Malaysia dikenali sebagai negara membangun yang mempunyai prasarana kelas dunia pertama.

Pada tahun-tahun kebelakangan ini kita telah membelanjakan berbilion ringgit untuk pembangunan tetapi apa yang dikesalkan ialah kekurangan penyenggaraan tehadap prasarana dan kemudahan awam tersebut.

Kita membangunkan dan menyediakan berbagai kemudahan awam tetapi kita selalu merasa kecewa apabila sampai kepada isu penyenggaraannya yang tidak memuaskan.

No comments: