Monday, December 15, 2008

Kes Ragut di Bkt Mertajam

Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) terpaksa meluahkan perasaan sedih dan kesal yang teramat terhadap mangsa ragut, Lim See Nya, 58, dari Lunas, Kedah yang telah meninggal dunia akibat di gilis lori selepas jatuh ketika beg tangannya diragut.

Tragedi mangsa ragut terkini ini harus dikecam sekeras-kerasnya oleh seluruh masyarakat Malaysia.

Tragedi seperti ini telah menimpa ramai mangsa ragut yang lain sejak beberapa tahun dahulu dan tidak akan berakhir sekiranya peragut dan penjenayah dibiarkan bebas berkeliaran.

Kejadian seperti ini harus dihentikan. Nyawa adalah kehilangan besar yang tidak ternilai.

MCPF menyarankan supaya Kerajaan menggunakan sepenuh kuasa yang ada untuk mengisytiharkan pembanterasan terhadap peragut dan membawa mereka ke muka keadilan.

Pihak Kerajaan dan pelbagai badan penguatkuasaan undang-undang yang lain termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan badan bukan Kerajaan (NGO) harus bekerjasama dengan satu matlamat serta komitmen untuk memerangi peningkatan peragut yang menjadi perosak di dalam masyarakat.

Pelbagai langkah harus dipertimbangkan untuk dilaksanakan dan ini termasuklah:

a. Pihak polis harus mengadakan lebih ramai anggota dan sumber-sumber untuk menangkap peragut di seluruh negara.

b. Semua PBT harus memperkenalkan inisiatif dan melaksanakan garis panduan di bawah konsep bandar selamat bagi menyediakan ciri-ciri keselamatan seperti membina pengadang untuk membahagikan laluan pejalan kaki dengan jalan raya.

c. Pejalan kaki harus lebih berjaga-jaga terhadap peragut dan mengamalkan garis panduan yang telah disediakan oleh MCPF dan pihak polis dalam mencegah kejadian ragut.

d. Orang awam pula harus bersedia untuk memberikan pertolongan kepada mangsa ragut dengan menangkap penjenayah dan menyerahkan mereka kepada pihak polis.

e. Hukuman yang lebih berat harus dilaksanakan ke atas peragut yang telah disabitkan termasuk hukuman penjara yang mandatori terhadap yang melakukan kesalahan dan mengakibatkan kematian mangsa ragut.

No comments: