Tuesday, December 9, 2008

Kesedaran Awam Pendermaan Organ

Melalui statistik, yang diperolehi dari Pusat Sumber Transplan Nasional, bilangan tahunan pengikrar penderma organ mengalami aliran turun naik. Sebagai contoh, sejak daftar pengikrar penderma organ dibuka, pada tahun 2000, mencatatkan jumlah pengikrar tahunan tertinggi iaitu sebanyak 16,625 pengikrar. Manakala yang paling rendah adalah pada tahun 1998 iaitu hanya 2,264 pengikrar. Untuk tahun ini, setakat data 31 Oktober 2008 (untuk tahun 2008 sahaja), jumlah pengikrar adalah seramai 10,142 orang pengikrar. Jumlah keseluruhan yang berikrar menjadi Penderma sejak tahun 1997 sehingga kini adalah melebihi 120,900 orang, dimana 60 peratus adalah Orang Cina, 22 peratus Orang India, 12 peratus Orang Melayu dan 3 peratus lain-lain.

Baru-baru ini saya melancarkan KEMPEN MEDIA PENDERMAAAN ORGAN bermatlamat agar mesej mengenai kepentingan dan kesedaran masyarakat tentang Pendermaan Organ dapat disampaikan dengan lebih berkesan dan mampu mencapai tahap audien yang lebih luas. Kempen ini menyasarkan bilangan mereka yang berikrar akan bertambah dan sekurang-kurangnya masyarakat tahu mengenai apa itu yang dimaksudkan dengan pendermaan organ.

Penghasilan bahan-bahan kempen Media Pendermaan Organ yang merangkumi penerbitan komersial di televisyen, radio dan juga di akhbar-akhbar utama ini diharap dapat memberikan impak kesedaran kepada masyarakat umum bahawa masih ramai yang menanti organ untuk mereka meneruskan kehidupan.

Kempen media besar-besaran ini akan berterusan sehingga Februari 2009 dan keberkesanan kempen ini akan dinilai sendiri oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sama ada ianya mampu mengubah persepsi dan kesedaran masyarakat tentang pendermaan organ.

Kes transplantasi organ dan tisu yang dijalankan di Malaysia hanyalah sebanyak 229 kes, sejak tahun 1976 hingga November 2008. Dan untuk tahun ini sahaja, kes yang dikendalikan hanyalah sebanyak 21 kes. Walhal yang menunggu untuk pendermaan organ melebihi 4,000 orang.

Kempen ini memberi tumpuan dan penekanan kepada pendermaan selepas kematian atau pendermaan Kadeverik. Tanpa program pendermaan kadeverik yang berjaya, pesakit-pesakit yang memerlukan jantung, paru-paru, dan mata tidak akan ada harapan.

Bayangkanlah kadar kematian di jalan raya di Negara kita adalah tinggi, 7,000 kematian dicatatkan akibat kemalangan di jalan raya setiap tahun. Jika sekiranya hanya 10 peratus dari jumlah kematian tersebut menderma organ atau tisu, ramai pesakit yang memerlukan tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan transplant mereka dan penderma hidup tidak lagi diperlukan.

Selain untuk meningkatkan bilangan pendaftar, kempen ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat, sekiranya terjadi kematian, keluarga bersedia untuk menimbangkan pendermaan. Jadi amat mustahak mereka yang ingin menderma selepas kematian memaklumkan niat murni mereka kepada keluarga.

Bilangan penderma Kadaverik dari tahun 1976 sehingga November 2008, seramai 229 orang. Untuk tahun ini sahaja 23 orang penderma kadeverik telah mendermakan 24 buah pinggang, 4 hati, 34 kornea, 11 injap jantung dan 3 set tulang. Tetapi, berdasarkan statistic yang diberikan oleh Pusat Sumber Transplan Nasional, jumlah pesakit yang menunggu pendermaan untuk buah pinggang, jantung, paru-paru dan hati adalah seramai 4,181 orang, manakala 6,162 orang lagi sedang dalam penilaian untuk dimasukkan ke program ini.

Sesungguhnya untuk mengajak masyarakat serta memujuk mereka mendaftar sebagai penderma organ bukanlah suatu perkara yang mudah namum ianya bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan. Salah satu cara yang didapati dapat memberikan pulangan yang baik adalah melalui penulisan serta penerbitan mesej yang disebarkan melalui media massa.

Dalam zaman teknologi masa kini, akses untuk mendapatkan maklumat bukan sahaja diperolehi melalui televisyen dan media cetak, malah, penulisan blog dan laman web juga mempunyai audien yang tersendiri. Oleh sebab itu, Pusat Sumber Transplan Nasional menghasilkan laman web sendiri agar medium ini dapat menyampaikan maklumat yang lebih terperinci merangkumi pelbagai aspek mengenai penerangan lanjut tentang pendermaan organ, seperti apa itu pendermaan organ, organ dan tisu yang boleh didermakan, siapa yang layak dan sebagainya, serta aktiviti-aktiviti promosi pendermaan organ,dan statistik terkini tentang daftar pengikrar penderma organ, malah melalui laman web ini, pengunjung dapat memuat turun borang pendaftaran untuk menjadi pengikrar penderma organ. Alamat laman web yang dimaksudkan adalah www.agiftoflife.gov.my.

No comments: