Wednesday, December 31, 2008

Keselamatan di sekolah”PEMBENTUKAN BUDAYA KERJA SELAMAT DAN SIHAT”

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini terdapat beberapa kemalangan dan kecederaan berlaku di premis sekolah dan sebahagiannya dilaporkan dalam media. Insiden dan kemalangan ini melibatkan guru, pekerja sekolah dan juga pelajar.

Dalam usaha untuk mewujudkan kesedaran dan mempromosikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, NIOSH yang ditubuhkan di bawah Kementerian Sumber Manusia telah memperkenalkan program keselamatan dan kesihatan pekerjaan di sekolah atau OSH di Sekolah dengan tujuan untuk menjadikan sekolah-sekolah sebagai tempat yang selamat dan sihat untuk para guru, pekerja sekolah, pelajar dan juga pelawat.

NIOSH telah mengambil inisiatif untuk mengeluarkan Buku Panduan Program Keselamatan dan kesihatan Pekerjaan di Sekolah. Buku ini diharap dapat dijadikan rujukan asas oleh pihak sekolah dalam menerapkan aspek keselamatan dan kesihatan di peringkat sekolah.

Buku panduan ini sebenarnya diterbitkan dengan tujuan memberi maklumat dan panduan secara am dalam membangunkan program keselamatan dan kesihatan pekerjaan di sekolah. Antara lain, buku panduan ini memberikan maklumat tentang cara-cara bagaimana untuk menimbulkan kesedaran dan latihan berkenaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan kepada guru, kakitangan sekolah dan para pelajar.

Buku panduan ini juga memberi maklumat mengenai keselamatan di makmal, pejabat dan kantin, keselamatan ketika bersukan, keselamatan dari terjatuh, keselamatan pemakanan di kantin, kesihatan dan kebersihan diri, pengosongan bangunan waktu kecemasan dan pertolongan kecemasan.

Rancangan Keselamatan dan Kesihatan bukanlah perkara yang baru bagi sekolah. Sebelum ini Kerajaan telah memperkenalkan beberapa projek berunsurkan keselamatan dan kesihatan termasuk Panduan Pengurusan 3K sebagai pemangkin kepada matlamat sekolah yang sihat, bersih dan selamat di seluruh negara.

Konsep OSH in School walaupun hampir serupa dengan program yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran bercadang untuk membawa suatu dimensi tambahan terhadap keselamatan di sekolah.





Ia melihat sekolah sebagai sebuah tempat atau premis kerja yang melibatkan para guru dan kakitangan sekolah. Sebagai tempat kerja, sekolah juga tertakluk kepada Akta Keselamatan dan kesihatan Pekerjaan (OSHA 1994).

Pelaksanaan peraturan-peraturan OSHA di sekolah adalah untuk memastikan supaya sekolah adalah tempat yang selamat dan terhindar daripada sebarang gejala yang boleh menjejaskan kesihatan para guru, kakitangan sekolah, pelajar mahu pun pelawat.

Tunggak utama terhadap perlaksanaan program ini adalah :

- Memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan setiap pekerja di sekolah;
- Memastikan sesiapa sahaja yang berada di tempat kerja (di sekolah) diawasi dan dijaga keselamatan dan kesihatan mereka iaitu para pelajar serta pelawat di sekolah berkenaan;
- Mewujudkan suasana tempat kerja yang selamat dan sihat termasuklah (di pejabat, makmal, asrama, kantin, tandas, padang dan sebagainya) sesuai dengan keperluan fisiologi dan psikologi para pekerja dan sesiapa sahaja yang berada di sekolah.


Kesedaran OSH tidak seharusnya ditumpukan kepada guru-guru dan kakitangan sekolah, malah ianya harus juga melibatkan pelajar-pelajar di sekolah. Kesedaran terhadap OSH boleh dilakukan melalui pengurusan OSH di sekolah masing-masing menerusi perlaksanaan program OSH di sekolah ini.

Di samping itu, program tersebut ini dapat memupuk budaya selamat dan sihat di kalangan para pelajar sekolah sejak awal lagi supaya mereka akan menjadi sumber tenaga manusia atau modal insan yang senantiasa prihatin terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Pendedahan awal ini akan membantu generasi muda negara membentuk budaya kerja selamat dan sihat. Guru-guru adalah merupakan orang yang penting di dalam menerapkan kesedaran terhadap kepentingan OSH di kalangan pelajar.

Berlandaskan matlamat inilah pihak NIOSH merasakan program pelancaran buku panduan yang diadakan ini merupakan usahasama kami dan Syarikat Exxonmobil dalam menyumbang kepada ”PEMBENTUKAN BUDAYA KERJA SELAMAT DAN SIHAT” khususnya di kalangan generasi akan datang dan secara amnya kepada segenap lapisan masyarakat kita.

No comments: