Tuesday, December 9, 2008

Pencegahan dan Membasmi Jenayah

Jenayah dan ketakutan kepada jenayah telah menimbulkan suatu isu yang menjadi kebimbangan utama rakyat Malaysia pada masa kini.

Dalam keadaan situasi ekonomi yang tidak menentu serta isu kemasukan pendatang haram, bilangan kejadian jenayah boleh meningkat.

Ini merupakan suatu waktu yang mencabar kepada pihak polis sebagai penguatkuasa undang-undang dan mereka harus berusaha sedaya upaya untuk membenteras jenayah dan melindungi orang awam.

Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) adalah sangat bimbang tentang kejadian jenayah dan menyeru orang awam sering berhati-hati dan memainkan peranan yang lebih proaktif untuk menangani jenayah.

Kejadian jenayah memberi kesan terhadap keselamatan warga Malaysia dan ketakutan kepada jenayah adalah merupakan suatu ancaman ke atas kesejahteraan komuniti.

Jenayah hari ini memberi kesan serius ke atas orang ramai tanpa mengira kaum dan jantina. Oleh sebab itu, inilah masanya bagi setiap rakyat Malaysia bertegas dalam kesungguhan mereka membenteras jenayah. Membenteras jenayah bermula dengan kesedaran setiap individu untuk mencegah jenayah.

MCPF telah menganjurkan secara aktif kempen kesedaran pencegahan dan mencetak 1 juta risalah dalam 4 bahasa menasihati orang awam bagaimana mereka dapat mengikuti apa yang selamat dan menjauhi apa yang bahaya dalam pencegahan jenayah.

Secara ringkasnya, orang awam haruslah sentiasa BERWASPADA; tidak mengambil ringan tentang keselamatan; tidak menyediakan peluang dan ruang untuk jenayah berlaku dan meningkatkan kesedaran tentang pencegahan jenayah.

Oleh kerana kejadian jenayah berlaku berterusan dan kenyataan bahawa pihak penguatkuasa undang-undang bersendirian tidak mampu mengatasi masalah tersebut, pihak kerajaan perlu mengadakan polisi dan program sosial yang berkesan untuk mengekang dan membasmi kejadian jenayah.

Dalam hubungan ini isu-isu mengenai kemelesetan ekonomi, pengangguran, pendatang tanpa izin dan lain-lain perlu ditangani dengan berkesan.

Walau bagaimanapun, kerajaan memerlukan penglibatan orang lain seperti peniaga, penduduk, ahli professional dan orang awam untuk membantu mereka dalam membenteras jenayah.

Oleh yang demikian, pembuat polisi, ahli akademik dan lain-lain peringkat dalam masyarakat perlu menyahut cabaran ini dan menjadikan bandar, kota dan komuniti mereka selamat dan sejahtera untuk semua penduduk.

Sehubungan dengan ini, usaha yang berterusan harus dilakukan untuk mengurangkan jenayah, menghilangkan ketakutan dan mewujudkan Bandar dan kota di mana ekonomi perniagaan dan masyakarat dapat subur.

Agenda untuk mengawal dan mencegah jenayah memerlukan usaha sinergi, terancang dan berterusan daripada orang ramai. Orang ramai mempunyai peranan dan fungsi dalam usaha menangani jenayah.

Orang awam perlu diberi kesedaran bahawa tanggungjawab memerangi jenayah adalah tanggungjawab bersama. Sejak penubuhannya, MCPF terlibat secara aktif di dalam kempen kesedaran dengan berbagai organisasi yang berteraskan masyarakat untuk membantu meningkatkan kesedaran mengenai keperluan untuk tidak mengambil ringan keselamatan mereka tetapi sebaliknya menyertai aktiviti-aktiviti secara aktif untuk memerangi jenayah.

Melalui projek inisiatif Bandar dan kejiranan selamat, MCPF berharap dapat melibatkan penyertaan semua lapisan masyarakat di dalam mendidik orang ramai mengenai apa yang mereka perlu lakukan untuk mengelak kejadian jenayah.

No comments: