Monday, February 23, 2009

KE ARAH MEWUJUDKAN BUDAYA ANTI JENAYAH

PENDAHULUAN

Setiap hari kita pasti akan terbaca laporan dan berita mengenai pelbagai perilaku jenayah dan keganasan yang berlaku di setiap bandaraya utama dunia termasuklah di bandar-bandar utama Malaysia. Antara jenayah yang berlaku ialah serangan terhadap orang ramai, orang yang sedang beriadah di taman-taman, pengguna tempat letak kereta, orang yang menaiki pengangkutan awam, penculikan, rompakan, kes ragut, wanita yang diperkosa serta yang paling jijik sumbang mahram.

Di Malaysia, jenayah dan ketakutan terhadap ancaman jenayah telah mula nampak kesannya di bangunan-bangunan, taman-taman dan kawasan-kawasan tertentu. Bangunan dipagari dengan pagar besi dan dipasang peralatan keselamatan, sementara rumah orang kenamaan, orang kaya dan kedai pejabat dikawal oleh pengawal-pengawal keselamatan. Banyak juga kawasan di dalam bandar disediakan laluan khas pejalan kaki yang turut dipisahkan dengan penghalang dari laluan yang digunakan oleh kenderaan.

Menurut sebuah laporan yang dikeluarkan oleh Pusat Penempatan Manusia Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Centre on Human Settlement) beberapa tahun yang lalu, keganasan yang berlaku di bandar-bandar seluruh dunia telah meningkat lebih kurang antara tiga ke lima peratus setahun sepanjang dua dekad yang lalu.

KETIDAKSEIMBANGAN DAN PENGASINGAN MASYARAKAT

Jenayah dan keganasan di bandar bukanlah fenomena yang berlaku secara spontan tetapi adalah berpunca daripada ketidakseimbangan dan pengasingan dari masyarakat.

Usaha bagi melindungi masyarakat bandar dari gejala kemiskinan, pengangguran dan ketidakadilan dalam integrasi sosial pastinya akan juga melindungi mereka dari jenayah dan keganasan.

Walaupun proses perbandaran dan kemiskinan saling berkait dengan tahap keganasan dan jenayah di bandar, terdapat faktor-faktor lain seperti keadaan politik, ekonomi dan sosial yang turut menyumbang ke arah keadaan tersebut.

Kemorosotan nilai moral dan keruntuhan struktur dan institusi sosial seperti keluarga dan kawasan sejiran menimbulkan lebih banyak risiko keganasan dan jenayah di bandar.

Terdapat banyak kesan dan akibat daripada keganasan yang berlaku di bandar. Selain daripada kecederaan dan trauma emosi, ia turut mencetuskan rasa tidak selamat yang akan menjurus kepada ketidakpercayaan, kekurangan toleransi, pengasingan diri dan dalam kes-kes tertentu bertindakbalas ganas.

Bagi mengelakkan jenayah dan keganasan di bandar, perkongsian bijak antara majlis perbandaran setempat, pertubuhan komuniti, pihak polis dan sistem kehakiman perlu dijadikan sebagai sebahagian penting daripada program pencegahan jenayah negara.

Sebuah masyarakat tanpa jenayah adalah masyarakat yang sejahtera dan bahagia. Ini adalah sesuatu yang diidam-idamkan oleh semua masyarakat sejagat. Justeru itu, slogan seperti Masyarakat bebas Jenayah (Crima Free Society), Jenayah Sifar (Zero Crime), Bandar Selamat (Safe City), Kejiranan Selamat (Safe Neighbourhood) sering menjadi sentuhan mulut anggota masyarakat yang prihatin terhadap keselamatan dan kesejahteraan negara.

Lebih 75 peratus daripada jumlah kes jenayah yang dilakukan adalah ekoran daripada kecuaian mangsa-mangsa yang memberi peluang kepada si penjenayah untuk melakukan jenayah.

Kebanyakan kes rompakan dan jenayah di jalan raya berlaku secara spontan berikutan dengan wujudnya satu peluang bukannya hasil daripada sebuah perancangan yang terperinci.

Kawasan yang mempunyai kadar jenayah yang tinggi selalunya adalah kawasan yang mudah dimasuki dan dikenali oleh si penjenayah sebagai tempat yang memberi peluang kepada mereka untuk menyerang mangsa pada masa-masa tertentu.

INISIATIF BANDAR SELAMAT

Oleh itu, maka timbul-lah konsep INISIATIF BANDAR SELAMAT yang berasaskan prinsip bahawa PENCEGAHAN ADALAH LEBIH BAIK DARIPADA PENGHAPUSAN JENAYAH. Pendekatan yang terpilih dalam tindakan pencegahan jenayah ini ialah melalui rekabentuk Persekitaran (Crime Prevention through Environmental Design) yang selamat di mana peluang-peluang untuk melakukan jenayah dapat dikurangkan.

Di sini para professional seperti juru perancang, arkitek, jurutera dan kontraktor boleh memainkan peranan masing-masing. Langkah-langkah pencegahan jenayah jarang sekali diberi pertimbangan semasa merancang pembangunan bandar atau pembinaan projek perumahan, tapak-tapak industri, taman rekreasi atau lain-lain pembangunan infrastruktur di negara ini walaupun ia merupakan isu utama yang sering diambilkira di negara maju.

Isu membanteras jenayah wujud hanya di dalam minda sahaja dan dibangkitkan secara tidak langsung apabila perancang bandar sedang merancang sebuah penempatan yang tersusun (teratur) yang didiami oleh sebuah masyarakat yang bersepadu.

PENGURANGAN PELUANG MELAKUKAN JENAYAH

Langkah-langkah pencegahan jenayah pada dasarnya menuju ke arah pengurangan peluang-peluang untuk melakukan jenayah iaitu dengan mewujudkan ruang yang selamat.

Apa yang diperlukan ialah pengwujudan reka bentuk persekitaran yang boleh melindungi dan mewujudkan keprihatinan serta kewaspadaan masyarakat yang diperlukan untuk pencegahan jenayah.

INISIATIF BANDAR SELAMAT merupakan sebuah projek utama MCPF yang bertujuan untuk mewujudkan suasana kehidupan yang selamat dan mengurangkan peluang penjenayah melakukan jenayah. Bandar yang selamat bermaksud sebuah bandar yang bebas dari jenayah di mana penduduknya tidak dibelenggu dengan perasaan takut terhadap ancaman jenayah.

Di dalam konteks ini, INISIATIF BANDAR SELAMAT merupakan satu contoh yang baik di mana kerajaan dan orang ramai bekerjasama dalam usaha mencegah jenayah. Pencegahan jenayah boleh dilakukan melalui perancangan dan rekabentuk alam sekitar, pembangunan masyarakat dan dengan mendidik rakyat supaya lebih berhati-hati dalam apa juga keadaan supaya mereka tidak mengundang bahaya.

Secara ringkas, INISIATIF BANDAR SELAMAT merupakan satu program yang mengandungi aktiviti-aktiviti yang dirancang, di mana pihak polis dan orang ramai berusaha sama menyelesaikan masalah-masalah setempat yang berkaitan dengan jenayah secara amnya dan khususnya untuk mewujudkan satu persekitaran fizikal yang boleh menangani masalah jenayah dan sekali gus mencegah kegiatan jenayah.

Dalam usaha Malaysia menuju ke arah negara maju, Program INISIATIF BANDAR SELAMAT menjadi satu pendekatan dan langkah ke arah usaha pencegahan jenayah.

Pada dasarnya 11 aktiviti akan dilakukan di dalam perlaksanaan INISIATIF BANDAR SELAMAT :-

 Pemilihan kawasan projek ;
 Mengenalpasti kumpulan sasar di dalam kawasan projek ;
 Menerangkan konsep (mengenai inisiatif bandar selamat) kepada kumpulan sasar tersebut ;
 Menubuhkan jawatankuasa bandar selamat untuk kawasan projek tersebut ;
 Mengenalpasti jenayah dan masalah oleh kumpulan sasar dan jawatankuasa bandar selamat ;
 Menyelesaikan masalah oleh kumpulan sasar ;
 Mendapatkan khidmat juru runding sekiranya perlu ;
 Melaksanakan cadangan-cadangan terhadap pencegahan jenayah ;
 Memantau keberkesanan perlaksanaan cadangan-cadangan tersebut dan membuat perubahan sekiranya perlu ;
 Merekodkan aktiviti projek dan ;
 Memantau konsep bandar selamat secara berterusan dan mengambil langkah-langkah yang perlu seterusnya.

Jawatankuasa Bandar Selamat akan dipengerusikan oleh seorang wakil penduduk, lebih sesuai pengerusi persatuan penduduk dan ahli-ahlinya mengandungi wakil-wakil dari pihak berkuasa tempatan, Jabatan Polis, MCPF, agensi kerajaan yang berkenaan, pihak pemaju dan ahli professional seperti arkitek, perancang bandar dan lain-lain.

Perlaksanaan INISIATIF BANDAR SELAMAT memerlukan persefahaman dan kerjasama yang rapat di antara semua pihak yang berkaitan dengan masyarakat setempat. Mereka yang terlibat termasuklah perancang bandar dan arkitek yang merekabentuk bangunan, pihak pemaju yang membangunkannya, pihak kerajaan yang bertanggungjawab mentadbir kawasan tersebut dan penduduk setempat yang tinggal di situ agar semuanya berusaha untuk mewujudkan suasana kehidupan yang aman, damai dan selamat.

Faedah terbesar daripada projek ini ialah penyelesaian masalah dalam konteks keperluan tempatan oleh penduduk tempatan itu sendiri. Wargakota harus diiktiraf sebagai golongan yang dapat memainkan peranan melalui sumbangan idea untuk menangani jenayah. Inisiatif ini mengiktiraf keselamatan bandar sebagai sebahagian daripada dasar awam yang terpenting dalam kehidupan bandar. Dengan itu, perlaksanaan INISATIF BANDAR SELAMAT adalah wajar dalam meningkatkan usaha orang ramai dalam membanteras jenayah.

Selain membantu dalam usaha pencegahan jenayah. INISIATIF BANDAR SELAMAT juga bermaksud untuk membina perhubungan baik sesama penduduk. Ia dapat membentuk kerjasama yang baik di antara satu sama lain dan ini adalah penting dalam sebuah negara yang berbilang bangsa.

Melalui inisiatif yang bertujuan untuk mewujudkan Bandar Selamat secara tidak langsung ianya juga membantu mengeratkan hubungan kaum di samping memperkukuhkan konsep kejiranan.

Sehingga kini beberapa projek bandar selamat telah dilancarkan oleh MCPF namun kita sebagai masyarakat setempat harus juga memainkan peranan untuk menjayakan INISIATIF BANDAR SELAMAT dan mengekalkan keselamatan bandar tersebut.

Walaupun kita sedar bahawa pihak polis memainkan peranan yang penting dalam usaha membanteras jenayah, ianya bukanlah tanggungjawab mereka semata-mata. Orang ramai juga haruslah sentiasa berwaspada dan sama-sama membantu dalam membanteras jenayah.

Walaupun indeks kadar jenayah umumnya menurun, lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk menangani jenayah melalui penguatkuasaan undang-undang dengan lebih berkesan dan meningkatkan pembabitan masyarakat dalam usaha pencegahan jenayah.

YAYASAN PENCEGAHAN JENAYAH MALAYSIA (MCPF) INGIN MENYERU RAKYAT MALAYSIA SUPAYA BERUSAHA KE ARAH TOLERANSI SIFAR TERHADAP JENAYAH DENGAN MEWUJUDKAN BUDAYA ANTI JENAYAH DAN MENJADIKAN SUASANA SELAMAT SEBAGAI SUATU CARA HIDUP.

BUDAYA ANTI JENAYAH
Kebudayaan mempunyai hubungan erat dengan masyarakat. Segala sesuatu yang terdapat di dalam sesebuah masyarakat mempunyai hubungkait atau boleh ditentukan oleh kebudayaan yang dimiliki masyarakat itu sendiri.
Budaya boleh dianggap sebagai sesuatu yang diperturunkan daripada satu generasi ke generasi seterusnya.
Kebudayaan ialah keseluruhan pengertian, nilai, norma, ilmu pengetahuan serta struktur-struktur kemasyarakatan, keagamaan selain penghasilan seni dan intelektual yang membentuk ciri-ciri khas sesebuah masyarakat.
Saya memandang budaya sebagai satu konsep menyeluruh yang mengandungi ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, tatasusila, undang-undang, adat resam dan lain-lain kebolehan serta kebiasaan yang diperolehi oleh manusia sebagai anggota masyarakat.
Kebudayaan bolehlah disimpulkan sebagai keseluruhan cara hidup manusia termasuk hasil ciptaan dan pemikiran yang sesuai dengan kehendak rohani dan jasmani yang menjadi amalan untuk kesejahteraan hidup sesuatu kelompok masyarakat

BUDAYA GANAS

Satu daripada isu utama yang perlu kita atasi ialah budaya keganasan yang kini semakin menular dalam masyarakat kita. Budaya ini pastinya bukan ciri masyarakat kita. Oleh itu, kita perlu mencari punca masalah serta langkah mengatasinya.

Pihak Kerajaan, pertubuhan bukan Kerajaan dan masyarakat perlu berganding bahu dalam usaha menangani apa juga bentuk keganasan. Kita juga perlu memberikan lebih tumpuan terhadap aspek keselamatan dan persekitaran bebas jenayah di samping berusaha mencapai pembangunan negara yang seimbang.

Tahun-tahun kebelakangan ini, kita menyaksikan pelbagai masalah sosial seperti ancaman dadah yang serius, salah laku juvana dan jenayah, keganasan terhadap kanak-kanak, kerosakan harta awam, pembuangan sampah merata-rata dan kurangnya kesedaran sivik di kalangan masyarakat.

Semua ini adalah petanda kemorosatan nilai murni yang jika tidak diatasi dengan berkesan akan menggugat aspirasi kita dalam menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

Dunia kini dibelenggu fenomena yang sangat membimbangkan. Dimana juga terdapat pembangunan ekonomi dan permodenan yang seterusnya menghasilkan taraf kehidupan lebih baik, di situlah munculnya masalah sosial yang baru.

Kita bukan saja perlu menangani masalah sosial dan cabaran ekonomi tetapi isu lain yang lebih penting seperti integrasi kaum dan perpaduan. Apa yang membimbangkan ialah hampir tiada hari berlalu tanpa laporan masalah sosial dan jenayah.

Hal ini menarik perhatian ramai dalam mempersoalkan bagaimana kejadian ini boleh berlaku di kalangan masyarakat kita. Jalan penyelesaian mudah ialah dengan menganggapnya sebagai lencongan daripada sesuatu yang normal dan berharap masa dapat mengubah segala kecelaruan ini supaya keadaan kembali seperti sedia kala.

Hakikatnya, jenayah masih terus dilakukan oleh golongan muda. Kita perlu menentukan punca berlaku jenayah ini dan mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah. Jika peningkatan kadar jenayah adalah sebahagian daripada hasil kemajuan negara, maka aspek ini harus ditangani.

NILAI MURNI
Kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat keseluruhannya perlu memulakan usaha dalam mewujudkan satu program NILAI MURNI UNTUK NEGARA bagi mempromosikan kesedaran terhadap nilai kemanusiaan yang murni dalam masyarakat.

Tugas ini sudah menjadi suatu keperluan bagi negara dalam mencapai keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan teknologi maklumat, di samping pembangunan sosial dan moral.

Kita tidak sepatutnya melahirkan suatu masyarakat yang angkuh, tamak dan terlalu asyik mencari harta kekayaan, sebaliknya kita perlu mewujudkan masyarakat yang penyayang dan yang dipupuk dengan semangat tanggungjawab, kesedaran moral dan keinsafan rohani.


KESIMPULAN

Demi masa depan generasi akan datang, rakyat Malaysia perlu mendukung nilai murni dengan teguh dan padu serta tidak meneladani budaya barat secara membuta tuli.

Institusi kekeluargaan dan nilai murni perlu dipelihara dan dipupuk supaya dapat digunakan sebagai perisai kepada pelbagai masalah sosial yang mengancam masyarakat.

Apabila sekolah kita dibelenggu oleh peningkatan kadar kes perlanggaran displin, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memberikan lebih perhatian terhadap pentingnya kita kembali kepada prinsip asas nilai kemanusiaan dan murni.

Kita perlu mendidik anak kita dan memastikan mereka menghargai nilai murni seperti sifat toleransi, persefahaman, menghormati orang tua, patuh kepada undang-undang, keyakinan diri dan sifat keterbukaan terhadap perbezaan agama, kepercayaan, adat dan budaya.

Yang paling pentingnya, kita perlu mewujudkan budaya anti-jenayah di kalangan generasi muda agar kita dapat berusaha ke arah jenayah sifar di masyarakat kita.

No comments: