Monday, February 23, 2009

Surat Kepada Pengarang_OPS Sikap

Semua pihak yang terlibat dengan usaha peningkatan keselamatan dijalan raya merasa amat bimbang dengan perangkaan kemalangan jalan raya yang menunjukkan peningkatan sebanyak 11.6 peratus kemalangan maut semasa 15 hari OPS SIKAP sempena Tahun Baru Cina berbanding tahun sebelumnya.

Jumlah kematian yang direkodkan ada 212 berbanding 190 untuk tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Purata kemalangan maut yang berlaku setiap hari adalah 14.1 berbanding 12.6 pada tahun 2008.


Menurut Ketua Traffik Bukit Aman Datuk Abdul Aziz Yusof sasaran pihak polis untuk mengurangkan kemalangan maut sebanyak 5% tidak akan tercapai selagi pengguna jalan raya tidak mengubah sikap buruk mereka semasa memandu.

Aziz menyatakan penunggang dan pembonceng motosikal merupakan jumlah yang terbesar iaitu 72% atau 152 kematian dan ini merupakan peningkatan sebanyak 43.4 % dari tahun 2008.

Apa yang amat ironi ialah ”OPS SIKAP” bertujuan untuk mengubah sikap pengguna jalan raya tetapi peningkatan jumlah kemalangan maut menunjukkan sikap buruk dikalangan sebahagian pengguna jalan raya, terutamanya penunggang motosikal seperti Mat Rempits, tidak berubah.

Saya sendiri sebagai seorang pengguna jalan raya sering tertanya-tanya kenapa ramai penunggang motosikal tidak mematuhi peraturan jalan raya dan tidak memperdulikan keselamatan mereka sendiri.

Penunggang motosikal yang tidak mematuhi lampu trafik, tidak mengikat topi keledar dengan kemas, dan keluar masuk didalam arus trafik adalah kejadian biasa diatas jalan raya kita.

Penunggang juga menunggang di lorong trafik yang membahayakan diri mereka sendiri di lebuh raya. Terdapat juga penunggang yang memecut dengan laju dan tiba-tiba berada dihadapan kenderaan lain yang juga amat berbahaya dan boleh menyebabkan kemalangan.

Mereka kelihatan tidak sabar untuk menunggu lampu trafik bertukar hijau dipersimpangan jalan.

Adakah ini telah menjadi cara hidup penunggang dan penumpang motosikal?

Bahkan terdapat remaja yang tidak dikawal oleh ibubapa mereka suka meniru cara pemanduan Mat Rempit yang semakin bertambah buruk tersebut.

Kegagalan ‘OPS SIKAP’ yang terbaharu ini untuk mengurangkan kadar kemalangan maut perlu kajian yang menyeluruh terhadap strategi dan pendekatan yang diambil untuk kempen akan datang.

Adakah usaha kita sekarang memadai untuk merubah sikap pemandu jalan raya atau adakah penunggang motosikal belum bersedia untuk berubah sikap dan tidak menyayangi nyawa mereka?

Disamping itu saya juga ingin menyarankan kepada pihak yang berkenaan supaya memperbaiki lebih kurang 346 kawasan yang mudah kemalangan diseluruh Negara, yang telah dikenalpasti oleh pihak polis. Jalan-jalan yang dikenalpasti berbahaya ini perlu diperbaiki dan diselenggara dengan baik.

No comments: