Monday, February 23, 2009

Surat Kepada Pengarang_Hari Wilayah 2009

Sambil kita merayakan Hari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang ke 35. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan 1.7 juta penduduk Kuala Lumpur, hendaklah memikirkan bagaimana boleh terus menyumbangkan kepada pembangunan Kuala Lumpur menurut kemampuan masing-masing agar ia menjadi bandaraya bertaraf dunia yang aman dan makmur.

Walaupun kita boleh berbangga dengan kejayaan kita pada masa lalu, tetapi kita juga perlu melihat kepada kelemahan kita dan berusaha mengatasinya supaya harapan, cita-cita dan impian kita menjadi kenyataan.

Saya amat bernasib baik kerana diberi peluang untuk berkhidmat dengan Bandaraya Kuala Lumpur – 21 tahun sebagai wakil rakyat, diikuti 16 tahun sebagai Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Seorang Datuk Bandar Kuala Lumpur baru telah dilantik dan saya percaya di bawah kepimpinan Datuk Ahmad Fuad Ismail Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan ibu kota akan bertambah maju dan memperolehi kejayaan yang lebih cemerlang.

Di antara isu semasa yang perlu ditangani termasuk:

a. Memastikan Urus Tadbir dan system penyampaian perkhidmatan yang baik dan bertindak dengan segera dan efisyen terhadap aduan orang ramai.
b. Menyemaikan budaya penyenggaraan yang baik dimana semua kemudahan awam di selenggara dengan baik.
c. Meneruskan usaha untuk menyediakan sistem pengangkutan awam yang bersepadu dan efisyen supaya masalah kesesakan lalulintas di Bandaraya Kuala Lumpur dapat dikurangkan.
d. Ditingkatkan usaha untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandaraya yang mesra alam dengan lebih banyak pokok ditanam dan taman serta pusat rekreasi disediakan untuk penduduknya serta menangani masalah pencemaran udara dan air.

e. Melaksanakan Program Initiatif Bandar Selamat dan konsep membendung jenayah melalui rekabentuk persekitaran yang selamat, sebagai usaha untuk membendung jenayah.

Walaupun kita amat berharap pihak berkuasa tempatan melakukan yang terbaik untuk mengatasi berbagai cabaran yang rumit di bandaraya ini, adalah penting bagi semua penduduk meningkatkan kesedaran sivik, bertindak secara proaktif dan bersikap wajar terhadap perkembangan dan pembangunan Kuala Lumpur yang berterusan.

Penduduk Kuala Lumpur perlu memainkan peranan masing-masing dengan betul. Selain dari menyumbangkan idea dan maklumbalas kepada Datuk Bandar dan Dewan Bandaraya, penduduk juga perlu membantu menjaga kebersihan bandaraya dengan tidak membuang sampah merata-rata dan tidak merosakkan kemudahan awam.

Melibatkan diri dengan aktiviti sukarela seperti mengadakan kempen gotong-royong, dan pemuliharaan alam sekitar adalah amat digalakkan. Ini juga adalah kaedah yang berkesan untuk memerangi wabak demam denggi.

Terdapat banyak cabaran yang akan mendatang untuk Kuala Lumpur menjadi Bandaraya bertaraf dunia yang aman dan makmur.

Dalam hubungan ini, sebahagian besar usaha bukan sahaja bergantung kepada Datuk Bandar dan pegawai-pegawainya tetapi juga kepada arah tuju dasar oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan tidak ketinggalan penglibatan semua pertubuhan bukan kerajaan, wakil rakyat yang dipilih dan penduduk bandaraya itu sendiri.

Disamping itu kita perlu mewujudkan dan kekalkan perasaan mencintai Kuala Lumpur sebagai bandaraya untuk semua.

No comments: