Monday, February 23, 2009

Kempen Pencegahan Jenayah anjuran Yeo Hiap Seng

Hujung minggu lalu saya telah mewakili Yayasan Pencegahan jenayah Malaysia (MCPF) untuk merasmikan kempen pencegahan jenayah anjuran syarikat Yeo Hiap Seng (M) Berhad. Ia dianjurkan sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat syarikat berkenaan “Jadi Selamat dengan Yeo’s” di dalam membantu mencegah jenayah.

Dengan cogan kata “Jadi Selamat dengan Yeo’s”, syarikat yang menghasilkan pelbagai jenis minuman penduduk Asia ini bersama-sama memerangi jenayah dengan mengalakkan masyarakat supaya turut sama menjadi ahli Rakan Cop melalui cetakan dalam bungkusan minuman 13 nombor talian ahli Rakan Cop yang telah ditentukan di seluruh negara.

Ia menandakan sumbangan positif oleh sebuah syarikat yang menghasilkan produk pengguna untuk tampil ke hadapan dalam usaha yang penuh makna ini.

Ketika rakyat Malaysia begitu peka dengan kejadian jenayah yang berlaku, usaha-usaha kearah meningkatkan tahap kesedaran pencegahan jenayah dilihat mampu memberi impak mendalam dan adalah diharap usaha Yeo’s ini akan dicontohi oleh syarikat-syarikat lain.

Masyarakat juga perlu berganding bahu kearah memupuk budaya benci jenayah dan pro keselamatan sebagai amalan hidup mereka. Jika tidak, semua usaha kearah memerangi jenayah tidak akan berkesan dan berkekalan.

Dalam menangani masalah jenayah, penguatkuasaan undang-undang semata-mata adalah tidak memadai berikutan peningkatan kadar jenayah yang semakin berleluasa ekoran krisis ekonomi dunia. Pihak kerajaan hendaklah sentiasa mewujudkan polisi yang lebih berkesan di dalam mencegah dan mengekang aktiviti-aktiviti jenayah daripada terus berlaku.

Walau bagaimanapun, kerajaan juga memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak seperti ahli perniagaan, golongan professional serta orang ramai di dalam membantu memerangi jenayah.

Semua lapisan masyarakat perlu berusaha dan bersatupadu ke arah memastikan ibukota, bandar dan kampong masing-masing adalah selamat untuk didiami oleh semua. Dengan usaha yang berterusan untuk mengurangkan jenayah dan rasa takut terhadap jenayah, ini sekaligus dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan suasana kehidupan yang lebih aman damai dan selamat.

Semua pihak mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing untuk membanteras jenayah. Masyarakat harus sedar bahawa pencegahan jenayah adalah tanggungjawab bersama. Menyedari hakikat itu, MCPF telah melaksanakan pelbagai aktiviti pencegahan jenayah bersama-sama dengan masyarakat bukan sahaja memupuk kesedaran tentang pencegahan jenayah bahkan mengalakkan penglibatan secara kolektif di dalam aktiviti-aktiviti pencegahan jenayah.

Melalui projek inisiatif bandar selamat, MCPF amat berharap dan percaya dapat mengalakkan penglibatan semua lapisan masyarakat dengan mempertingkatkan pengetahuan tentang apa yang perlu dilakukan di dalam pencegahan jenayah.

No comments: