Monday, November 24, 2008

Ketagihan Fantasi Siber

Beberapa ibu-bapa telah menulis kepada saya baru-baru ini menyatakan kebimbangan mereka mengenai ketagihan anak-anak muda kepada fantasi siber melalui permainan komputer atau “computer games” yang terdapat di kafe siber yang mereka kunjungi.

Semakin ramai anak-anak muda telah mengunjungi kafe siber ini untuk bermain computer games dengan alasan ingin mendapat ketenangan atau merehatkan minda dari tekanan alam persekolahan.

Menurut iba-bapa tersebut, bukan ketagihan dadah yang dihadapi anak-anak muda ini tetapi sebaliknya ialah ketagihan kepada permainan siber.

Tidak lama dulu terdapat lapuran yang meluas didalam media mengenai pelajar sekolah rendah dan menengah yang berpakaian seragam sekolah didapati berada didalam kafe siber tertentu dipersekitaran Kuala Lumpur dan Ipoh ketika dilakukan pemeriksaan oleh Jabatan Pelajaran.

Inilah hakikatnya pada hari ini. Semakin ramai anak-anak muda telah menjadi penagih kepada fantasi siber. Dan ini adalah masaalah yang perlu ditangani oleh sekolah, ibu-bapa dan pihak-pihak yang berkenaan.

Tidak ada salahnya permainan komputer ini digunakan untuk merihatkan minda tetapi ia hendaklah dilakukan dengan kadar yang sederhana. Sebarang bentuk penagihan adalah tidak baik terutamanya kepada pelajar yang perlu belajar dan menduduki peperiksaan.

Apa yang lebih buruk lagi ialah apabila ketagihan terhadap computer games ini membawa kepada perjudian yang merupakan punca utama kepada banyak keburukan.

Perjudian siber tidak boleh dibenarkan dan anak-anak muda kita tidak boleh terbabit denganya.

Walaupun saya tidak memusuhi kafe siber, tetapi peratutan yang mengekang operasi mereka terutamanya bersangkutan dengan tempat ia beroperasi dan penguatkuasaan terhadapnya hendaklah diperketatkan untuk mengelak ia menjadi punca kepada penyakit sosial kepada masyarakat.

Bagaimanakah pengusaha kafe siber seperti itu membenarkan pelajar sekolah memasuki premis mereka sedangkan notis didepan pintu dengan jelas menyatakan pelajar yang memakai seragam sekolah tidak dibenarkan masuk.

Kafe siber telah tumbuh bagaikan cendawan diserata pelusuk negara dan penguat kuasa tempatan yang mengeluarkan lesen kepada pengusaha kafe siber ini tidak mampu untuk memantau kesan buruk kepada masyarakat yang diujudkan oleh operasi kafe siber ini.

Untuk mengharapkan para pengusaha kafe siber ini beretika dan melakukan pengawalan kendiri untuk menyekat mereka yang dibawah umur 18 tahun dari memasuki kafe siber ini adalah mustahil kerana mereka mempunyai kepentingan kewangan terhadap perkara tersebut.

Semua penguatkuasa tempatan perlu memastikan pengusaha kafe siber mematuhi syarat-syarat yang dikenakan terhadap permit lesen mereka seperti menghadkan operasi kepada waktu yang tertentu dan tidak membenarkan anak-anak dibawah umur memasuki premis mereka.

Walaupun kita mengalu-alukan zaman teknologi maklumat dan kominikasi (ICT), kita juga perlu melindungi generasi muda kita dari pengaruh negatif yang dibawa oleh kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi ini.

Dengan perkembangan dan kemajuan pendidikan pintar, mendapatkan ilmu dan pengetahuan perlu dilakukan dengan pendidikan moral yang mencukupi.

Walaupun kita perlu menghasilkan pekerja yang mempunyai kepakaran komputer dalam zaman teknologi maklumat dan komunikasi ini, ia perlu dilakukan tanpa mengorkan atau mengabaikan keperluan penerapan nilai-nilai moral yang baik.

Dengan kemajuan maklumat tanpa sempadan, lebih penekanan hendaklah diberikan terhadap penerapan nilai-nilai moral didalam pendidikan untuk mengelakkan munculnya lebih banyak jenayah siber.

No comments: