Tuesday, November 11, 2008

KETUA HAKIM NEGARA

Surat kepada Pengarang



Ketua Hakim Negara yang baru dilantik, Tan Sri Zaki Tun Azmi, di dalam satu wawancara khas dengan Bernama telah berjanji untuk memastikan akan mempercepatkan kes-kes mahkahmah dan menyelesaikan kes-kes tertangguh yang bagitu banyak jumlahnya.

Janji yang diberikan oleh Zaki untuk memastikan perbicaraan dan penyelesaian kes-kes mahkamah dengan lebih cepat adalah amat dialu-alukan dan patut mendapat sokongan orang ramai. Seperti kata pepatah “Proses keadilan yang lambat dilaksanakan adalah keadilan yang dinafikan”.

Dalam hubungan ini Ketua Hakim Negara menghadapi tugas yang amat mencabar untuk menyelesaikan berbagai isu seperti memperbaiki sistem perlaksanaan proses keadilan di mahkamah, menyelesaikan masaalah birokrasi di mahkamah, masaalah pentadbiran, masaalah kekurangan hakim dan kakitangan sokongan, mengurangkan kes yang tertangguh, dan pelbagai masaalah lain.

Untuk menghadapi cabaran tersebut dan pelbagai masalah lain, Ketua Hakim Negara memerlukan sokongan semua pihak yang berkenaan seperti Kerajaan, Majlis Peguam, Pejabat Peguam Negara, fraterniti kehakiman dan guaman.

Keputusan beliau untuk meninggalkan kerjaya yang lebih lumayan di sektor swasta dan menerima perlantikan sebagai Ketua Hakim Negara untuk memperbaiki sistem Badan Kehakiman negara merupakan satu pekerjaan mulia serta satu pengorbanan terhadap negara yang perlu diberikan pengiktirafan.

Beliau memegang jawatan Badan Kehakiman yang tertinggi tersebut pada satu masa dimana banyak perkara yang perlu beliau lakukan untuk mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap badan kehakiman tersebut.

Cabaran yang paling besar kepada Ketua Hakim Negara adalah untuk memperbaiki imej dan persepsi orang ramai terhadap Badan Kehakiman.

Melihat dari kenyataanya, beliau tanpa ragu-ragu telah menunjukkan niat dan komitmennya untuk memperbaiki Badan Kehakiman tersebut.

Perlu juga dinyatakan bahawa usaha untuk memperbaiki imej Badan Kehakiman telah bermula semasa Tun Abdul Hamid Mohamad memegang jawatan Ketua Hakim Negara.

Sehingga kini persepsi negatif mengenai Badan Kehakiman, sama ada benar atau tidak, tidak boleh dinafikan.

Kita tidak boleh mengabaikanya tetapi sebaliknya melakukan yang terbaik untuk menukar persepsi negatif mengenai Badan Kehakiman tersebut.

Kepada Zaki Tun Azmi kita meletakkan harapan kita supaya beliau akan memastikan semua halangan dapat diatasi didalam usaha beliau untuk memulihkan sistem Badan Kehakiman yang merupakan “perbatasan terakhir negara”.

Marilah kita menutup sejarah lampau, yang telah mencemarkan imej Badan Kehakiman. Marilah kita membuka lembaran baru untuk mengembalikan keagungan Badan Kehakiman demi kepentingan negara.

Cabaran dihadapan kita amat besar. Marilah kita memberikan peluang kepada Ketua Hakim Negara yang baru dilantik, untuk membawa perubahan, dan membuktikan kemampuan beliau untuk melaksanakan perubahan dan membuktikan kritikan terhadap beliau adalah tidak benar dan berasas.

No comments: