Wednesday, November 19, 2008

Perpaduan

Perpaduan adalah hadiah yang tidak ternilai harganya yang perlu dikekalkan oleh semua rakyat di dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia.

Setiap warga Malaysia yang cintakan keamanan mestilah memberikan komitmen sepenuhnya terhadap keharmonian dan perpaduan dan usaha yang bersungguh-sungguh perlu dilakukan untuk memupuk budaya yang membawa keamanan, keharmonian dan perpaduan.

Perpaduan dan keharmonian adalah dua perkara yang amat diperlukan di serata dunia dan Malaysia tidak terkecuali. Untuk memastikan keharmonian dan perpaduan di Malaysia, kita harus mewujudkan lebih banyak aktiviti yang melibatkan semua kaum di peringkat akar-umbi.

Banyak yang telah diperkatakan mengenai perpaduan nasional tetapi masih banyak yang perlu dilakukan untuk meningkatkan, mengekalkan dan menggalakkan perhubungan yang erat di antara rakyat Malaysia berbilang kaum. Ia adalah proses yang berterusan dan perlu diberikan keutamaan yang paling tinggi.

Usaha memupuk perpaduan seharusnya bermula dari peringkat persekolahan iaitu dari tadika kanak-kanak ke sekolah rendah, menengah dan seterusnya ke pusat-pusat pengajian tinggi, di mana usaha boleh dilakukan untuk menerapkan nilai-nilai harmoni dan perpaduan. Memupuk perpaduan juga perlu dimulakan di kalangan jiran tetangga kerana di situlah terletak kepelbagaian kaum dan nilai.

Kementerian Pelajaran perlu meningkatkan atau menambahkan skop mata pelajaran berkaitan dengan “moral’ dengan memasukkan pengetahuan dan pelajaran mengenai perpaduan dan keharmonian kaum di samping menerapkan nilai integrasi kaum di kalangan pelajar berbilang kaum.

Semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum harus berusaha untuk membangunkan satu “Bangsa Malaysia” yang bersatu walaupun ia bukanlah satu perkara yang mudah.

Semua rakyat Malaysia perlu menyingkirkan perasaan takut, syak wasangka dan prejudis di antara satu sama lain demi untuk kebaikan bersama.

Perpaduan adalah soal sikap. Perpaduan datangnya dari dalam diri kita dan dari hati kita. Perpaduan tidak dapat dicapai melalui paksaan atau perundangan. Ia lahir secara sukarela.

Memandangkan minat baru yang ditujukan oleh kerajaan terhadap perbincangan mengenai perpaduan, saya ingin mengambil kesempatan ini menyeru pihak kerajaan supaya mengambil langkah-langkah untuk memperkenalkan penilaian kesan projek-projek pembangunan dari aspek sosial dan perpaduan kaum.

Semua projek pembangunan perlu dikaji dengan teliti untuk memastikan ia mendatangkan faedah di dalam memperkukuhkan perpaduan kaum di kalangan rakyat. Projek yang menjurus ke arah perpecahan kaum perlu dikaji semula dan diperbaiki.

No comments: