Tuesday, November 4, 2008

Mangsa Kes Ragut Lagi

Baru-baru ini media tempatan melaporkan seorang lagi suri rumah meninggal dunia di Hospital Batu Pahat selepas seminggu berada dalam keadaan koma dipercayai menjadi mangsa ragut.

Peningkatan kes kejadian ragut di merata tempat di negara kita, yang mana ramai mangsa-nya adalah kaum wanita, amat merunsingkan dan membimbangkan.

Tidak ada sehari berlalu tanpa berlakunya kes kejadian ragut. Saya berpendapat pihak polis, pihak berkuasa tempatan serta pertubuhan-pertubuhan lain yang relevan harus membincang semula mengenai perumusan satu strategi yang lebih efektif dalam menangani masalah ragut.

Memandangkan kepada peningkatan kejadian jenayah, sudah sampai masanya bukan sahaja kepada pihak-pihak berkuasa tetapi juga semua lapisan masyarakat diberi kesedaran mengenai peri pentingnya tindakan yang pantas dan berkesan diambil terhadap bukan sahaja penjenayah tetapi juga isu-isu dan punca perlakuan jenayah.

Misalnya, aduan atau cadangan yang dikemukakan kepada pihak berkuasa yang berkenaan mengenai apa apa langkah yang boleh dilakukan untuk mengelakkan dari berlakunya kejadian jenayah perlu ditangani segera. Setiap aduan yang bersangkutan pencegahan jenayah perlu diberi perhatian.

Sekiranya terdapat aduan mengenai pemasangan lampu jalan untuk mengatasi masalah jalan atau lorong yang gelap, atau aduan yang memerlukan tindakan untuk meningkatkan keselamatan jalan ke sekolah dan taman-taman perumahan maka ia perlu diambil tindakan segera.

Oleh kerana kejadian jenayah masih berterusan dan hakikat bahawa pihak penguat kuasa undang-undang bersendirian tidak mampu mengatasi masalah tersebut, pihak kerajaan perlu mewujudkan polisi dan program sosial yang berkesan untuk mengekang dan membasmi punca kejadian jenayah.

Dalam hubungan ini, saya mencadangkan kepada kerajaan merumuskan dan melaksanakan strategi jangka panjang dan jangka pendek untuk menangani punca kejadian jenayah seperti gejala sosial, pengangguran dan lain-lain.

Walaubagaimanapun pihak kerajaan juga memerlukan pihak-pihak lain yang berkepentingan seperti para peniaga, penduduk, pekerja profesional dan orang ramai untuk membantu memerangi jenayah.

Oleh yang demikian pembuat dasar, ahli-ahli akademik dan pelbagai lapisan masyarakat perlu bersatu menghadapi cabaran dan menjadikan bandar, pekan dan kampung selamat untuk didiami oleh semua penduduk.

Dalam hubungan ini, usaha berterusan perlu dilakukan untuk mengurangkan kadar jenayah dan perasaan takut terhadapnya di samping mewujudkan kejiranan dan bandar yang lebih selamat di mana perniagaan dan penduduk boleh memaju.

Agenda untuk mengawal dan membasmi jenayah memerlukan usaha yang bersinergi, bersepadu dan bersungguh-sungguh dari semua pihak. Semua pihak mempunyai peranan dan tugas untuk dilakukan dalam usaha memerangi jenayah.

Orang awam perlu diberi kesedaran bahawa tanggungjawab memerangi jenayah adalah tanggungjawab bersama. Sejak penubuhannya, MCPF terlibat secara aktif di dalam kempen kesedaran dengan berbagai organisasi yang berteraskan masyarakat untuk membantu meningkatkan kesedaran mengenai keperluan untuk tidak mengambil ringan keselamatan mereka tetapi sebaliknya mengambil bahagian secara aktif untuk memerangi jenayah.

Melalui projek inisiatif kejiranan selamat dan kelab pencegahan jenayah di sekolah, MCPF berharap dapat menggembeling penyertaan semua lapisan masyarakat termasuk pelajar di dalam mendidik orang ramai mengenai apa yang mereka perlu lakukan untuk mengelakkan kejadian jenayah.

MCPF menyeru semua rakyat Malaysia untuk berusaha ke arah jenayah sifar dengan membentuk satu budaya anti-jenayah dan menjadikan keselamatan sebagai cara hidup.

Usaha untuk membasmi jenayah tidak akan berkesan dan berkekalan kecuali seseorang itu bertekad dan bersedia untuk mengamalkan budaya anti-jenayah dan menjadikan keselamatan sebagai cara hidup.

No comments: