Thursday, November 27, 2008

UCAPAN MAJLIS PERASMIAN KEMPEN MEDIA PENDERMAAN ORGAN 2008-2009

UCAPAN TAN SRI LEE LAM THYE
PENGERUSI JAWATANKUASA BERTINDAK KESEDARAN AWAM PENDERMAAN ORGAN SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN KEMPEN MEDIA PENDERMAAN ORGAN 2008-2009
DI HOTEL HOSPITAL KUALA LUMPUR
PADA 22 NOVEMBER 2008


Yang saya muliakan Pengerusi Majlis,
Yang Berusaha Ketua-Ketua Jabatan,
Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin,
Para NGO,
Rakan-rakan Media, dan

Tuan-tuan dan Puan-puan hadirin yang dihormati sekalian.

1. Selamat pagi dan salam sejahtera. Terlebih dahulu izinkanlah saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Jawatankuasa Penganjur, Pusat Sumber Transplan Nasional kerana sudi menjemput saya menghadiri majlis yang cukup bermakna pada pagi ini dan seterusnya menyampaikan ucapan dan menyempurnakan MAJLIS TIGA DALAM SATU ini iaitu, perasmian Kempen Media Pendermaan Organ, Laman Web serta Logo Korporat Pusat Sumber Transplan Nasional.

2. Saya mewakili JAWATANKUASA BERTINDAK KESEDARAN AWAM PENDERMAAN ORGAN di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak, termasuk pihak TOP Team Hospital-Hospital, dan NGO kerana selama ini telah bersama-sama menyokong program pendermaan organ untuk menyelamatkan dan memberikan harapan kepada mereka yang memerlukan.

3. Hadirin yang saya hormati sekalian. Secara umumnya pihak Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Bahagian Pendidikan Kesihatan, dan Bahagian Perkembangan Kesihatan, melalui Pusat Sumber Transplan Nasional telah banyak menyelaras aktiviti-aktiviti kesedaran serta promosi Kempen Pendermaan Organ di Malaysia. Program-program ini diberikan sokongan yang padu bukan sahaja dikalangan kakitangan hospital sendiri malah kerjasama dan sokongan turut diberikan oleh pihak swasta serta badan-badan bukan kerajaan.

Mereka memainkan peranan yang penting dalam memastikan dan meningkatkan tahap kesedaran masyarakat mengenai kebaikan dan kemurnian pendermaan organ. Dan oleh sebab itu bilangan mereka yang berikrar untuk menjadi penderma organ meningkat dari tahun ke tahun.

4. Media memainkan peranan yang penting dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat tentang sesuatu perkara dengan jelas. Keberkesanan dan kemampuan media dalam menyampaikan maklumat kepada audien yang luas dan pelbagai latar belakang tidak dapat dinafikan.

Oleh yang demikian, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia memperuntukan sebanyak RM2.4 juta untuk menjadikan Kempen Media Pendermaan Organ ini satu kenyataan. Kempen ini menyasarkan bilangan mereka yang berikrar akan bertambah dan sekurang-kurangnya masyarakat tahu mengenai apa itu yang dimaksudkan dengan pendermaan organ.

5. Dalam hubungan ini, KEMPEN MEDIA PENDERMAAAN ORGAN bermatlamat agar mesej mengenai kepentingan dan kesedaran masyarakat tentang Pendermaan Organ dapat disampaikan dengan lebih berkesan dan mampu mencapai tahap audien yang lebih luas.

Penghasilan bahan-bahan kempen Media Pendermaan Organ yang merangkumi penerbitan komersial di televisyen, radio dan juga di akhbar-akhbar utama ini diharap dapat memberikan impak kesedaran kepada masyarakat umum bahawa masih ramai yang menanti organ untuk mereka meneruskan kehidupan.

Kempen media besar-besaran ini akan berterusan sehingga Februari 2009 dan keberkesanan kempen ini akan dinilai sendiri oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sama ada ianya mampu mengubah persepsi dan kesedaran masyarakat tentang pendermaan organ.

6. Melalui statistik, yang diperolehi dari Pusat Sumber Transplan Nasional, bilangan tahunan pengikrar penderma organ mengalami aliran turun naik. Sebagai contoh, sejak daftar pengikrar penderma organ dibuka, pada tahun 2000, mencatatkan jumlah pengikrar tahunan tertinggi iaitu sebanyak 16,625 pengikrar. Manakala yang paling rendah adalah pada tahun 1998 iaitu hanya 2,264 pengikrar. Untuk tahun ini, setakat data 31 Oktober 2008 (untuk tahun 2008 sahaja), jumlah pengikrar adalah seramai 10,142 orang pengikrar. Jumlah keseluruhan yang berikrar menjadi Penderma sejak tahun 1997 sehingga kini adalah melebihi 120,900 orang, dimana 60 peratus adalah Orang Cina, 22 peratus Orang India, 12 peratus Orang Melayu dan 3 peratus lain-lain.

Untuk makluman, kes transplantasi organ dan tisu yang dijalankan di Malaysia hanyalah sebanyak 227 kes, sejak tahun 1976 hingga 31 Oktober 2008. Dan untuk tahun ini sahaja, kes yang dikendalikan hanyalah sebanyak 21 kes. Walhal yang menunggu untuk pendermaan organ melebihi 4,000 orang.

Untuk makluman semua, kempen ini memberi tumpuan dan penekanan kepada pendermaan selepas kematian. Tanpa program pendermaan kadeverik yang berjaya, pesakit-pesakit yang memerlukan jantung, paru-paru, dan mata tidak akan ada harapan.

Umpamanya, kadar kematian di jalan raya di Negara kita adalah tinggi, 7,000 kematian dicatatkan akibat kemalangan di jalan raya setiap tahun. Jika sekiranya hanya 10 peratus dari jumlah kematian tersebut menderma organ atau tisu, ramai pesakit yang memerlukan tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan transplant mereka dan penderma hidup tidak lagi diperlukan. Selain untuk meningkatkan bilangan pendaftar, kempen ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat, sekiranya terjadi kematian, keluarga bersedia untuk menimbangkan pendermaan. Jadi amat mustahak mereka yang ingin menderma selepas kematian memaklumkan niat murni mereka kepada keluarga.

Bilangan penderma Kadaverik dari tahun 1976 sehingga November, seramai 229 orang. Untuk tahun ini sahaja 23 orang penderma kadeverik telah mendermakan 24 buah pinggang, 4 hati, 34 kornea, 11 injap jantung dan 3 set tulang. Tetapi, berdasarkan statistic yang diberikan oleh Pusat Sumber Transplan Nasional, jumlah pesakit yang menunggu pendermaan untuk buah pinggang, jantung, paru-paru dan hati adalah seramai 4,181 orang, manakala 6,162 orang lagi sedang dalam penilaian untuk dimasukkan ke program ini.

7. Yang Berbahagia, Dato-Dato, Datin-Datin, Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, sesungguhnya untuk mengajak masyarakat serta memujuk mereka mendaftar sabagai penderma organ bukanlah suatu tanggungjawab yang mudah namum perkara ini bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan. Salah satu cara yang didapati dapat memberikan pulangan yang baik adalah melalui penulisan serta penerbitan mesej yang disebarkan melalui media massa. Peribahasa Cina ada menyatakan:


Jika saya dengar, saya lupa,
Jika saya lihat saya ingat,
Jika saya buat saya tahu.

Kombinasi ketiga-tiga pernyataan ini adalah cara yang paling berkesan dalam menyalurkan pendidikan kesihatan kepada masyarakat. Idea, fakta dan pengetahuan boleh disalurkan sama ada secara audio, iaitu melalui pendengaran atau visual iaitu melalui pandangan serta pembacaan, tetapi kombinasi kedua-duanya termasuk penyertaan daripada masyarakat sendiri dapat menghasilkan keputusan yang paling baik. Inilah yang diharapkan melalui kempen ini agar mesej-mesej berkaitan pendermaan organ dapat menggalakkan penyertaan masyarakat umum.

8. Hadirin sekalian, dalam zaman teknologi masa kini, akses untuk mendapatkan maklumat bukan sahaja diperolehi melalui televisyen dan media cetak, malah, penulisan blog dan laman web juga mempunyai audien yang tersendiri. Oleh sebab itu, Pusat Sumber Transplan Nasional menghasilkan laman web sendiri agar medium ini dapat menyampaikan maklumat yang lebih terperinci merangkumi pelbagai aspek mengenai penerangan lanjut tentang pendermaan organ, seperti apa itu pendermaan organ, organ dan tisu yang boleh didermakan, siapa yang layak dan sebagainya, serta aktiviti-aktiviti promosi pendermaan organ,dan statistik terkini tentang daftar pengikrar penderma organ, malah melalui laman web ini, pengunjung dapat memuat turun borang pendaftaran untuk menjadi pengikrar penderma organ. Saya juga dijelaskan bahawa laman web ini juga mempunyai akses khas kepada pegawai-pegawai perubatan. Oleh yang demikian, ianya boleh dijadikan sebagai sumber bahan rujukan kepada para pegawai perubatan berkenaan mngenai pendermaan organ. Alamat laman web yang dimaksudkan adalah www.agiftoflife.gov.my.

9. Hadirin yang saya hormati sekalian. Untuk makluman semua, National Transplan Resource Centre atau Pusat Sumber Transplan Nasional merupakan satu jabatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia yang berpusat di Hospital Kuala Lumpur. Ia adalah satu jabatan yang memberikan khidmat penerangan, serta menyelaras program promosi kesedaran kepada orang ramai mengenai pendermaan organ dan transplantasi di Malaysia.

Selain dari itu, ia juga bertindak sebagai pusat pendaftaran pengikrar pendermaan organ serta menyelaraskan kes pendermaan organ di Malaysia. Oleh yang demikian, semua daftar pengikrar penderma organ di Malaysia di kemaskini dan disimpan di Pusat Sumber Transplan Nasional yang secara rasminya ditubuhkan pada 1 November 1997 di Hospital Kuala Lumpur.

10. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, selaras dengan misi Pusat Sumber Transplan Nasional itu sendiri iaitu untuk mendapatkan seramai mungkin bakal-bakal penderma yang berpotensi untuk menyelamatkan pesakit-pesakit yang kegagalan fungsi organ yang kritikal. Logo korporat Pusat Sumber Transplan Nasional yang akan dilancarkan bermotifkan burung merpati sedang membawa riben hijau dengan slogan “A Gift of Life” melambangkan kesucian harapan yang dibawa melaui pendermaan organ sebagai satu anugerah kehidupan kepada yang memerlukan.

11. Hadirin sekalian, saya bagi pihak mewakili Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Pendermaan Organ ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua khasnya kepada NGO yang melibatkan diri secara aktif dalam membantu menjalankan Kempen Pendermaan Organ diseluruh Negara. Saya berharap melalui pelancaran 3 perkara ini, Program Pendermaan Organ akan mendapat tempat dan kesedaran pada masyarakat umum. Saya juga menyeru kepada semua, agar terus memainkan peranan aktif untuk kita sama-sama membantu meningkatkan tahap kesedaran masyarakat tentang pendermaan organ. Semoga dengan penglibatan kondusif yang murni ini sedikit sebanyak dapat membantu dan memberikan pengharapan kepada mereka yang memerlukan untuk meneruskan kehidupan.

12. Sebelum saya mengakhiri ucapan ini suka saya untuk mendeklamasikan sebuah sajak bertajuk Berapa Lama Usia Kita untuk renungan,

BERAPA LAMA USIA KITA?

Terhitungkah kita
Sesuatu yang bernama usia
Oleh tahun yang silih berganti
Atau sekadar tinggalan jasa dan bakti.

Apakah benar
Andainya usia kehidupan
Bias dihitung
Oleh jiwa yang didukung jasad

Pada tubuh yang hidup
Membawa bersama roh dan kemegahan
Menerima anugerah yang paling besar
Kehidupan dan pengharapan

Andai harus di hitung
Jarak masa suatu usia
Tiada tilik noktah
Apakala ia menjadi penyambung kehidupan
Kepadanya sang pemberi
Dan yang menerima pemberian yang tidak ternilai
Anugerah pengharapan dan kehidupan

13. Akhirkata, saya dengan sukacitanya merasmikan, Laman Web dan Logo Korporat Pusat Sumber Transplan Nasional serta Kempen Media Pendermaan Organ tahun 2008 – 2009. Sekian, terima kasih.




TAN SRI LEE LAM THYE
PENGERUSI JAWATANKUASA BERTINDAK KESEDARAN AWAM PENDERMAAN ORGAN

No comments: