Monday, March 2, 2009

Disiplin Sekolah

Masalah kekurangan disiplin di sekolah-sekolah perlu diberi perhatian berat dan tidak boleh diabaikan. Ia adalah perkara yang perlu diberikan perhatian bersama oleh guru dan ibubapa.

Saya merasakan disiplin pelajar di sekolah-sekolah di seluruh negara perlu diperbaiki dan dipertingkatkan dan langkah-langkah diambil untuk memastikan masalah disiplin dan perlakuan ganas pelajar terhadap rakan sebaya mereka mahu pun kepada guru sekolah sendiri dapat ditangani sedari awal-awal lagi.

Tidak dapat dinafikan bahawa masalah kekurangan disiplin di kalangan pelajar-pelajar pada hari ini, jika tidak di bendung, akan mendatangkan masalah yang serius kepada negara terutamanya dari perspektif pembinaan nilai-nilai murni di kalangan generasi muda.

Melihat perangkaan polis berkenaan kes salah laku dan jenayah yang dilakukan oleh remaja sekarang jelas menunjukkan masalah yang dihadapi oleh remaja yang akan menjadi pemimpin negara di masa hadapan adalah serius.

Salah laku atau jenayah remaja adalah jenayah yang dilakukan oleh remaja dalam lingkungan umur 10 hingga 18 tahun. Apa yang lebih membimbangkan ialah terdapat kejadian jenayah yang dilakukan oleh remaja yang lebih rendah umurnya dari lingkungan umur di atas, sejak lima tahun kebelakangan ini.

Banyak dari mereka melakukan jenayah ini untuk mendapatkan wang untuk dibelanjakan di tempat-tempat hiburan yang mereka sukai seperti arked permainan video dan sebagainya yang merupakan tempat larangan bagi mereka.

Oleh kerana kebanyakan dari mereka yang terlibat adalah dalam lingkungan umur persekolahan, pihak sekolah, ibubapa dan juga pihak polis dan masyarakat amnya tidak boleh memandang ringan masalah ini, malah sesuatu yang berkesan perlu dilakukan segera untuk membendung gejala yang amat membimbangkan ini.

Kegagalan pihak sekolah dalam melaksanakan hukuman terhadap kesalahan pelajar akibat campur tangan ibu bapa yang terlalu membela serta memanjakan anak mereka juga merupakan faktor yang mendorong pelajar tidak merasa takut kepada disiplin dan guru sekolah.

Walaupun ibubapa dan guru-guru mempunyai tanggungjawab dalam membendung gejala negatif ini, mereka tidak harus dipersalahkan sepenuhnya. Pihak penguatkuasa undang-undang juga adalah bertanggungjawab meningkatkan penguatkuasaan undang-undang yang kurang berkesan.

Para pengusaha tempat hiburan yang hanya mementingkan keuntungan sahaja dan tidak mempedulikan soal moral dan etika adalah juga bertanggungjawab terhadap gejala yang membimbangkan tersebut. Sebagai contoh, walaupun terdapat rungutan dan bantahan terhadap filem dan bahan-bahan lucah, ia masih dijual secara terbuka di pasar malam. Bahan-bahan lucah tersebut mudah didapati oleh kanak-kanak dan dijual dengan harga yang murah diantara RM5 hingga RM8 setiap satu.

Bahan-bahan lucah ini sudah pasti mendatangkan akibat yang negatif kepada kanak-kanak yang masih mentah dan akhirnya akan menyeret mereka ke arah jenayah, kerosakan moral dan masalah sosial yang lain.

Oleh yang demikian, perlunya di adakan program motivasi dan kaunseling serta program-program yang dapat membentuk jati diri pelajar. Di samping itu, pihak sekolah perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa bagi mengadakan program ceramah dan penerangan undang-undang bagi memberi kesedaran kepada pelajar akibat jenayah yang mereka lakukan akan merosakkan masa depan mereka sendiri.

Walaupun diakui beberapa aspek pencegahan jenayah dan disiplin telah diterapkan di dalam sistem pendidikan, adalah amat penting usaha-usaha dipertingkatkan untuk meningkatkan kesedaran dan memberi sokongan moral kepada pelajar-pelajar kita untuk menjauhi aktiviti-aktiviti jenayah.

Program Pra-PLKN perlu diterapkan juga kepada pelajar-pelajar di alam persekolahan agar program jati diri ini dapat mendidik mereka dan memberi kesedaran di kalangan pelajar terhadap berbagai aspek. Melalui penerapan nilai moral yang baik dan penekanan kepada pentingnya sikap yang jujur, semangat kerjasama dapat membantu pencegahan jenayah dan perasaan takut kepada jenayah.

Jadi apa yang perlu ialah proses didikan dan penerapan kesedaran yang berterusan dengan objektif atau tujuan untuk membasmi jenayah secara habis-habisan di dalam dan juga di luar sekolah.

No comments: