Monday, March 2, 2009

MAJLIS PERASMIAN PERINGATAN HARI ANTIDADAH KEBANGSAAN PERINGKAT WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR

TEKS UCAPAN PERASMIAN
Y. BHG TAN SRI LEE LAM THYE
NAIB PENGERUSI
YAYASAN PENCEGAHAN JENAYAH MALAYSIA (MCPF)

SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN PERINGATAN
HARI ANTIDADAH KEBANGSAAN
PERINGKAT WILAYAH PERSEKUTUAN
KUALA LUMPUR

28HB FEBRUARI 2009 (SABTU)
BERTEMPAT DI DATARAN
PERUMAHAN AWAM SRI SELANGOR,
JALAN SAN PENG, KUALA LUMPUR
_____________________________________________

Terlebih daluhu saya selalu Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) ingin mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Penganjur yang dapat mengadakan perhimpunan di Dataran perumahan Awam Sri Selangor pada petang ini bagi menjayakan SAMBUTAN PERINGATAN HARI ANTIDADAH KEBANGSAAN PERINGKAT WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR TAHUN 2009.

Ucapan terima kasih juga saya nak sampaikan kepada Jawatankuasa Penduduk dan semua penduduk perumahan awam Sri Selangor kerana sudi membenarkan sambutan ini diadakan dalam komuniti ini.

Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-tuan dan Puan-puan,

Sambutan peringatan Hari Antidadah Kebangsaan ini bertujuan untuk memperingati bahawa masalah dadah masih merupakan musuh nombor satu negara. Justeru, apa jua usaha yang dilakukan sama ada kerajaan, mahupun setiap anggota masyarakat merupakan satu perjuangan, berjuang untuk menghapuskan dadah sebagai musuh negara. Dengan erti kata lain, permasalahan dadah ini harus diperangi diperingkat akar umbi dan seterusnya menghapuskan permintaan dan bekalan dadah di negara ini.

Strategi yang digunakan ialah dengan menggerakkan segenap lapisan masyarakat serta meningkatkan kerjasama di kalangan pemimpin masyarakat dan Badan-badan Bukan Kerajaan agar kita dapat merealisasikan ’Malaysia Bebas Dadah Tahun 2015’.

Untuk makluman semua hadirin, tema Hari Antidadah Kebangsaan (HADAK) bagi tahun ini ialah ”Dadah Pemusnah, Musnahkan Dadah”. Tema ini dipilih dengan harapan dapat membangkitkan kesedaran semua anggota masyarakat tentang betapa bahayanya ancaman dadah terhadap masyarakat dari segi politik, ekonomi dan sosial.

Sekiranya gejala dadah terus berleluasa, tiada individu, keluarga ataupun masyarakat yang akan selamat. Ini bersandarkan realiti bahawa dadah mampu menguasai tubuh dan minda penagih, sindiket dadah pula mampu menjejaskan ekonomi negara, dan penyeludupan dadah akan menjadi punca kepada gejala jenayah dalam masyarakat. Kempen sebegini diharap dapat memberi inspirasi dan mengerakkan sokongan padu daripada masyarakat dalam usaha membasmi dadah.

Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-tuan dan Puan-puan,

Berdasarkan kepada laporan statistik sistem maklumat dadah kebangsaan (NADI) AADK, penagih yang dikesan sepanjang tahun 2008 ialah seramai 12,352, iaitu 5,939 PENAGIH BARU dan 6,413 PENAGIH BERULANG.

Dari perangkaan tersebut menunjukkan bahawa dalam sebulan seramai 514 rakyat Malaysia terjerumus sebagai PENAGIH BARU dan 556 orang sebagai PENAGIH BERULANG. Dalam satu hari terdapat 17 orang yang menjadi penagih baru dan 19 orang menjadi penagih berulang. Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, didapati seramai 1,828 orang penagih yang dikesan, seramai 564 penagih baru dan 1,264 orang penagih yang berulang.

Kita semua perlu sedar ini merupakan angka-angka yang dapat dikesan, bagaimana dengan mereka yang tidak dapat dikesan atau ditangkap? Hal ini merupakan senario yang kritikal dan merupakan cabaran kepada agensi antidadah kebangsaan yang berfungsi sebagai Agensi Utama dalam memerangi dadah, musuh nombor satu negara.

Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-tuan dan Puan-puan,

Saya juga ingin mangambil kesempatan ini menekankan peranan wanita dalam usaha menangani masalah penyalahgunaan dadah ini. Perangkaan AADK menunjukkan hanya segelintir golongan wanita yang terjebak dalam gejala penyalahgunaan dadah.

Maka berlandaskan kepada keyakinan bahawa peranan golongan wanita terlalu penting dalam usaha untuk mencapai Malaysia bebas dadah 2015, maka pada tahun ini, AADK telah merancang strategi bagi terus memperkasakan peranan wanita dalam usaha-usaha untuk mencegah penyalahgunaan dadah melalui program ”Masyarakat Wanita Antidadah” (MAWADAH).

Seperti yang kita sedia maklum, golongan wanita mampu memainkan pelbagai peranan dalam kehidupan mereka. Wanita ini adalah seorang ibu, seorang isteri, seorang guru, seorang teman, dan seorang pekerja. Golongan wanita ini juga merupakan seorang insan yang mampu untuk mendidik anak-anak dengan lemah-lembut tetapi tegas dalam membuat keputusan. Mereka mampu memberikan belaian, kasih-sayang, perhatian dan bersama dengan kerenah anak-anak walaupun pada masa yang sama mereka terpaksa keluar bekerja untuk menampung kehidupan keluarga.

Saya amat pasti, jika sesebuah keluarga itu bahagia secara automatik keluarga itu akan terlepas dari cengkaman penyalahgunaan dadah, dan ianya akan menyumbang kepada menjadikan Institusi Kekeluargaan, Pendidikan, tempat kerja dan komuniti serta kawasan tempat tinggal kita bebas dari segala gejala sosial terutamanya penyalahgunaan dadah.

Dengan kata-kata cerdik pandai bahawa ”tangan yang menghayun buaian mampu mengoncang dunia”, saya merayu kepada golongan wanita terutama kepada ibu-ibu untuk meluangkan sedikit masa berqualiti untuk mendengar masalah dan keluhan anak-anak terutama di peringkat remaja agar mereka merasa bahawa mereka masih disayangi dan diambil berat oleh ibu-ibu mereka.

Jika kita gagal berbuat demikian, maka jangan terperanjat jika anak-anak kita akan mencari rakan sebaya untuk meluahkan perasaan mereka. Cubalah kita fikirkan jika mereka mendapat rakan sebaya yang baik, tetapi jika sebaliknya maka kita boleh membayangkan apa yang akan terjadi.

Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-tuan dan Puan-puan,

Selain daripada masyarakat wanita yang berperanan untuk bersama AADK untuk menentang musuh nombor satu negara, saya juga ingin menyeru kepada semua pihak khususnya Ketua-ketua Jabatan, Badan-Badan Bukan Kerajaan, pemimpin-pemimpin tempatan dan masyarakat umumnya untuk terus bekerjasama dan membantu AADK serta lain-lain agensi penguatkuasaan bagi memastikan negara yang kita cintai ini bebas dari ancaman dadah.

Ingin saya tegaskan di sini, bahawa pemimpin masyarakat terutamanya jawatankuasa persatuan penduduk dan rukun tetangga seharusnya mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan, barulah akan terhasil kawasan yang lebih aman dan kondusif untuk didiami.

Apa yang penting ialah anggota masyarakat khususnya pemimpin atau ketua komuniti tidak perlu menunggu sahaja sehingga sesuatu masalah itu menjadi wabak, tetapi perlu bertindak untuk mengenalpasti permasalahan ini di kawasan masing-masing dan memaklumkan kepada pihak berkuasa seperti AADK mahupun jabatan – jabatan lain yang berkaitan untuk tindakan yang sewajarnya. Sekiranya ini dapat dilaksanakan, maka sasaran Malaysia bebas dadah pada tahun 2015 pasti akan tercapai.

Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-tuan dan Puan-puan,

Akhir-nya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada JAWATANKUASA PENDUDUK DAN PENDUDUK SRI SELANGOR kerana kesudian untuk menjadi tuan rumah majlis ini.

Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada AADK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, semua Jabatan dan Agensi Kerajaan, Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO), para pemimpin masyarakat dan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan sambutan Hari Anti Dadah Kebangsaan yang bermula sejak semalam hingga ke hari ini.

Saya berharap program seperti ini memberi mesej yang jelas kepada semua masyarakat agar berganding bahu memerangi ancaman dadah. Saya juga berharap agar apa jua program dan aktiviti antidadah di masa akan datang memberikan kejayaan kepada semua pihak demi kesejahteraan dan kemakmuran negara yang kita cintai.

Dengan kata-kata itu, saya dengan sukacitanya merasmikan sambutan peringatan HARI ANTI DADAH KEBANGSAAN PERINGKAT WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR TAHUN 2009.

Sekian, terima kasih.

No comments: