Thursday, March 12, 2009

Komen terhadap Pakej Ransangan Ekonomi Kedua bernilai RM60 Billion

Pakej Ransangan Ekonomi yang kedua bernilai RM60 billion yang di umumkan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak, yang bertujuan untuk menghindarkan negara dari mengalami kegawatan ekonomi yang serius, memaparkan langkah yang berani untuk mengekang beberapa masalah ekonomi yang sekiranya tidak diatasi akan membawa kesan serius terhadap kestabilan sosial dan politik.

Negara kita sekarang ini menghadapi situasi yang amat mencabar, yang memerlukan tindakan yang berani dan mantap untuk mengurangkan bebanan dan keperitan semua rakyat Malaysia.

Kita tidak mengharapkan semua rakyat Malaysia akan bersetuju dengan Pakej Ransangan tersebut, tetapi melihat dari sambutan yang diberikan oleh pelbagai lapisan rakyat Malaysia, menunjukkan penerimaan dan sokongan diberikan kepada empat strategi utama didalam pakej tersebut iaitu untuk mengurangkan kadar pengangguran dan mewujudkan peluang pekerjaan, mengurangkan bebanan rakyat terutamanya golongan yang terdedah kepada kemelesetan ekonomi tersebut, membantu sektor swasta untuk memulihkan ekonomi dan membangunkan kapasiti untuk masa hadapan.

Ia adalah satu usaha yang amat dialu-alukan untuk menyediakan sebanyak 163,000 peluang pekerjaan, peluang mengikuti latihan, menyediakan subsidi makanan dan menyekat kenaikkan kadar tol, dan ini merupakan perkara yang amat perlu dilakukan untuk mengurangkan bebanan kehidupan kebanyakkan rakyat Malaysia.

Di samping itu Kerajaan juga harus mengkaji kemungkinan untuk memberikan bantuan kewangan khusus kepada golongan rakyat marhain yang amat memerlukan bantuan dan pertolongan atau bantuan khusus kepada golongan yang baru kehilangan pekerjaan.

Setelah mengumumkan pakej ransangan sebanyak RM 60 billion tersebut, apa yang perlu dilakukan selanjutnya oleh pihak Kerajaan adalah untuk memastikan perancangan dan perlaksanaan program tersebut yang mantap dan berkesan untuk memastikan hasil yang diharapkan tercapai.

Dalam hal ini pihak Kerajaan perlu mengadakan kaedah pemantauan disetiap peringkat untuk memastikan semua projek dipantau dengan baik dan tidak berlaku pembaziran atau kebocoran. Perlaksanaan semua projek dan pemberian kontrak perlu dilakukan dengan penuh ketelusan dan bertanggung jawab.

Saya ingin mencadangkan pembentukan satu Pasukan Kerja Pemantauan Peringkat Tinggi yang dipengerusikan oleh Menteri Kewangan sendiri untuk memantau perlaksanaan Pakej Ransangan Kedua ini dan memberi keyakinan kepada rakyat bahawa Kerajaan akan memastikan kejayaan perlaksanaan Pakej Ransangan ini untuk menghindarkan kegawatan dan membantu rakyat.

Kejayaan membelajakan dana RM60 billion ini juga bergantung kepada komitmen sepenuhnya dari pihak awam untuk melakukan bukan sahaja yang mampu dilakukan tetapi yang terbaik untuk memastikan kejayaan perlaksanaan Pakej Ransangan Kedua ini.

No comments: