Wednesday, March 11, 2009

Kesihatan Mental Di Kalangan Pekerja

Masalah kesihatan mental terutamanya yang berkaitan dengan tekanan mental hendaklah ditangani dengan segera supaya masalah seperti stres, kemarahan dan keganasan, kemurungan dan cubaan bunuh diri dapat dielakkan.

Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) berpendapat langkah segera perlu diambil untuk menangani masalah mental dan kesihatan di tempat kerja yang melibatkan majikan, pekerja dan pihak berkuasa yang terlibat.

Pengabaian factor kesihatan mental dan psikososial di tempat kerja bukan sahaja merugikan pekerja tetapi juga memberi kesan secara langsung terhadap kecekapan, keberkesanan dan hasil ssesuatu perusahaan.

Di mana terdapat kes pekerja yang menderita dari penyakit mental, majikan perlu memberi pertolongan dan bantuan dalam ebentuk kaunseling.

Prestasi pekerja, kekerapan jatuh sakit, ketidakhadiran, kemalangan dan pusing-ganti pekerja akan terjejas oleh keadaan kesihatan mental pekerja.

Dalam hubungan ini, saya ingin menulis mengenai punca stres dan tekanan anggota polis yang memang merupakan suatu isu yang perlu ditangani dengan berkesan.

Pada suatu ketika dahulu kita pernah membaca laporan peristiwa seorang anggota polis melaporkan 58 das tembakan ke udara yang dikaitkan dengan tekanan perasaan.

Sebenarnya tekanan atau stres di kalangan anggota polis bukanlah sesuatu isu baru.

Sepertimana yang kita memahami memang benar bahawa kajian yang dilakukan membuktikan tugasasn dan pekerjaan polis terdedah kepada unsure tekanan atau stres.

Bidang tugas kepolisan adalah amat mencabar dan menjadi semakin pelbagai. Jadi isu kesihatan mental anggota polis perlu diberi perhatian sewajarnya kerana produktiviti seseorang anggota bergantung kepada kesihatan mental-nya.

Saya amat prihatin dengan aspek kebajikan polis. Dalam hubungan ini saya berpendapat bahawa selain dari membayar anggota polis gaji dan elaun yang munasabah, aspek kesihatan mental harus juga diberikan perhatian berat.

Program untuk membantu anggota polis yang mengalami stres atau tekanan harus dipertingkatkan. Program tersebut bertujuan untuk mengenalpasti anggota yang tertekan dan diikuti dengan memberi kaunseling dan lain-lain kemudahan kepada mereka.

Tidak ada tempat kerja yang terkecuali dari masalah penyakit mental pekerja dan kesannya dari segi psikologi, sosial dan ekonomi adalah tinggi. Kesihatan mental tidak lagi boleh diabaikan, sebaliknya ia perlu diberikan perhatian yang memadai sama seperti isu pengurusan lain di dalam sebuah organisasi.

Masalah penyakit mental, terutamanya yang berkaitan dengan tekanan jiwa atau “stress” di kalangan pekerja di Malaysia termasuk kakitangan PDRM, adalah merupakan perkara yang serius dan perlu diberikan perhatian segera di tempat kerja supaya masalah seperti kemurungan, penyakit mental dan gangguan jiwa dapat dielakkan.

NIOSH berpendapat langkah-langkah segera perlu diambil oleh majikan, pekerja dan juga pihak berkuasa yang berkenaan, untuk mengatasi masalah mental dan kesihatan di tempat kerja.

Dalam kontek ini pihak kerajaan perlu memperkenalkan garis panduan untuk meningkatkan kesihatan mental di tempat kerja supaya dapat menyumbang kepada kesihatan dan produktiviti pekerja secara mental dan juga fisikal yang lebih baik.

Modal yang digunakan untuk Program Bantuan telah terbukti memberi pulangan dari segi peningkatan produktiviti dan prestasi kerja. Kerajaan harus sedar penanaman modal untuk kebajikan kesihatan mental anggota polis membawa pulangan yang baik.

Pendidikan dan promosi ke atas kesihatan mental, yang bertujuan untuk mengekang peningkatan masalah psikososial di kalangan anggota polis, adalah amat penting, selari dengan aspirasi kita untuk menjadi negara maju yang sudah semestinya akan memberi tekanan hebat kepada kita untuk menjalankan tanggungjawab dalam kehidupan seharian kita.

Gangguan mental dan penyakit mental yang lain adalah satu peringatan pahit di dalam kehidupan kita yang tidak sepatutnya kita abaikan di dalam usaha kita untuk mencapai status negara maju.

Isu yang bersangkutan dengan kesihatan mental di tempat kerja juga boleh menjejaskan secara langsung majikan, pelanggan dan amsyarakat di mana organisasi tersebut berada.

Tiada negara atau individu yang terkecuali daripada gangguan mental dan kesannya ke atas keadaan psikologikal, sosial dan kesan terhadap ekonomi juga tinggi. Kesihatan mental tidak lagi boleh diabaikan sebaliknya ia perlu diberikan perhatian sama seperti masalah kesihatan yang lain.

Kesihatan mental bukan sekadar berkenaan penyakit mental. Ia adalah perasaan kesejahteraan, keupayaan menghadapi cabaran dan untuk memastikan sikap positif terhadap diri sendiri.

Isu kesihatan mental di tempat kerja, harus diberikan perhatian kerana produktiviti pekerja di dalam sesuatu organisasi bergantung kepada tahap kesihatan mental mereka.

No comments: