Tuesday, April 14, 2009

Dadah Pemusnah, Musnahkan Dadah

Tema Hari Antidadah Kebangsaan (HADAK) bagi tahun ini ialah ”Dadah Pemusnah, Musnahkan Dadah”. Tema ini dipilih dengan harapan dapat membangkitkan kesedaran semua anggota masyarakat tentang betapa bahayanya ancaman dadah terhadap masyarakat dari segi politik, ekonomi dan sosial.

Sekiranya gejala dadah terus berleluasa, tiada individu, keluarga ataupun masyarakat yang akan selamat. Ini bersandarkan realiti bahawa dadah mampu menguasai tubuh dan minda penagih, sindiket dadah pula mampu menjejaskan ekonomi negara, dan penyeludupan dadah akan menjadi punca kepada gejala jenayah dalam masyarakat.

Berdasarkan kepada laporan statistik sistem maklumat dadah kebangsaan (NADI) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), penagih yang dikesan sepanjang tahun 2008 ialah seramai 12,352, iaitu 5,939 PENAGIH BARU dan 6,413 PENAGIH BERULANG.

Dari perangkaan tersebut menunjukkan bahawa dalam sebulan seramai 514 rakyat Malaysia terjerumus sebagai PENAGIH BARU dan 556 orang sebagai PENAGIH BERULANG. Dalam satu hari terdapat 17 orang yang menjadi penagih baru dan 19 orang menjadi penagih berulang. Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, didapati seramai 1,828 orang penagih yang dikesan, seramai 564 penagih baru dan 1,264 orang penagih yang berulang.

Kita semua perlu sedar ini merupakan angka-angka yang dapat dikesan, bagaimana dengan mereka yang tidak dapat dikesan atau ditangkap? Hal ini merupakan senario yang kritikal dan merupakan cabaran kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang berfungsi sebagai Agensi Utama dalam memerangi dadah, musuh nombor satu negara.

Saya ingin menekankan peranan wanita dalam usaha menangani masalah penyalahgunaan dadah ini. Perangkaan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan hanya segelintir golongan wanita yang terjebak dalam gejala penyalahgunaan dadah.

Maka berlandaskan kepada keyakinan bahawa peranan golongan wanita terlalu penting dalam usaha untuk mencapai matlamat Malaysia bebas dadah 2015, maka pada tahun ini, kita perlu merancang strategi bagi terus memperkasakan peranan wanita dalam usaha-usaha untuk mencegah penyalahgunaan dadah melalui program ”Masyarakat Wanita Antidadah” (MAWADAH).

Golongan wanita mampu memainkan pelbagai peranan dalam kehidupan mereka. Wanita ini adalah seorang ibu, seorang isteri, seorang guru, seorang teman, dan seorang pekerja. Golongan wanita ini juga merupakan seorang insan yang mampu untuk mendidik anak-anak dengan lemah-lembut tetapi tegas dalam membuat keputusan. Mereka mampu memberikan belaian, kasih-sayang, perhatian dan bersama dengan kerenah anak-anak walaupun pada masa yang sama mereka terpaksa keluar bekerja untuk menampung kehidupan keluarga.

Jika sesebuah keluarga itu bahagia secara automatik keluarga itu akan terlepas dari cengkaman penyalahgunaan dadah, dan ianya akan menyumbang kepada menjadikan Institusi Kekeluargaan, Pendidikan, tempat kerja dan komuniti serta kawasan tempat tinggal kita bebas dari segala gejala sosial terutamanya penyalahgunaan dadah.

Dengan kata-kata cerdik pandai bahawa ”tangan yang menghayun buaian mampu mengoncang dunia”, saya merayu kepada golongan wanita terutama kepada ibu-ibu untuk meluangkan sedikit masa berqualiti untuk mendengar masalah dan keluhan anak-anak terutama di peringkat remaja agar mereka merasa bahawa mereka masih disayangi dan diambil berat oleh ibu-ibu mereka.

Jika kita gagal berbuat demikian, maka jangan terperanjat jika anak-anak kita akan mencari rakan sebaya untuk meluahkan perasaan mereka. Cubalah kita fikirkan jika mereka mendapat rakan sebaya yang baik, tetapi jika sebaliknya maka kita boleh membayangkan apa yang akan terjadi.

No comments: