Monday, April 27, 2009

Masalah Mat Rempit

Rakyat Malaysia yang patuh kepada undang-undang sudah pasti akan menyokong sebarang langkah atau inisiatif yang dapat membendong kegiatan lumba haram yang telah menjadi duri dalam daging kepada masyarakat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sehubungan dengan itu saya mengalu-alukan cadangan untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan Raya dan memperkenalkan satu seksyen khas untuk mengawal kegiatan lumba haram dan menghukum pelumba haram.

Pada masa ini pelumba haram diambil tindakan dibawah undang-undang “memandu secara bahaya” dimana hukumannya tidak berkesan untuk mencegah pelumba haram tersebut dari mengulangi perbuatan mereka.

Polis Diraja Malaysia telah mencadangkan Akta Pengangkutan Jalan Raya di pinda agar hukuman lebih berat dapat diperkenalkan keatas pemandu yang “gila laju” seperti Mat Rempit yang mengambil bahagian didalam perlumbaan haram dan ditangkap lebih dari satu kali.

Menghukum pesalah remaja yang mengambil bahagian didalam perlumbaan haram dengan membuat kerja-kerja amal sehingga 100 jam adalah salah satu langkah yang boleh dipertimbangkan.

Pesalah berkenaan yang didapati bersalah patutlah ditahan di Sekolah Henry Gurney untuk suatu tempoh yang ditetapkan.

Kebanyakan Mat Rempit adalah dalam lingkungan umur 15 ke 19 tahun, sebahagiannya dari kalangan pelajar dan kebanyakan adalah mereka yang telah kandas dalam pelajaran atau telah berhenti sekolah.

Soalannya ialah apa sudah terjadi dengan ibu bapa mereka. Tidak-kah ibubapa berprihatin dengan tingkah laku anak mereka yang terlibat dalam aktiviti Mat Rempit.

Mereka bukan sahaja membahayakan diri mereka semasa beraksi dengan motosikal mereka, tetapi juga membahayakan orang ramai yang menggunakan jalan raya.

Telah seringkali orang awam mengadu bagaimana mereka telah menjadi mangsa Mat Rempit yang terlibat dalam lumba haram, termasuk masalah pencemaran bunyi bising hasil dari kegiatan mereka.

Apa yang amat membimbangkan ialah penglibatan Mat Rempit dalam kegiatan jenayah seperti yang dilaporkan dalam media baru-baru ini.

Terdapat tidak kurang dari lima kes yang dibawa kepengetahuan saya di mana golongan warga tua kehilangan nyawa apabila dilanggar oleh pelumba haram yang tidak dikenali yang melarikan diri.

Saya berpendapat pihak berkuasa yang berkenaan perlu bertindak dengan tegas untuk membanteras kegiatan Mat Rempit ini buat selama-lamanya.

Apa yang jelas ialah berbagai operasi yang telah dilakukan oleh pihak berkuasa sehingga kini tidak dapat membendung kegiatan Mat Rempit ini tanpa undang-undang yang lebih berkesan beserta dengan hukuman yang dapat mencegah mereka melakukan perbuatan tersebut.

No comments: