Tuesday, August 12, 2008

Cadangan Kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memperkenalkan Indek Kepuasan Hati Penduduk (IKHP)

Surat Kepada Pengarang


Pihak Berkuasa Tempatan merupakan satu lapisan kerajaan yang amat penting di negara kita. Memandangkan kepada peranan penting yang dimainkan oleh pihak berkuasa tempatan dalam memberi pelbagai jenis khidmat kepada masyarakat, kepuasan penduduk harus dijadikan matlamat akhir setiap pihak berkuasa tempatan.

Oleh kerana tindakan dan keputusan yang dibuat oleh pihak berkuasa tempatan boleh memberi kesan kepada orang ramai, maka adalah tepat pada masanya satu mekanisma diperkenalkan untuk mengukur pandangan orang ramai terhadap perkihdmatan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan tersebut.

Dalam hubungan ini, saya mencadangkan bahawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memperkenalkan Indek Kepuasan Hati Penduduk (IKHP) untuk mengukur pandangan orang ramai terhadap perkhidmatan yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan.

Apabila pihak berkuasa tempatan mengambil peranan penting di dalam penyediaan perkhidmatan, mereka perlu mempunyai keupayaan untuk menghadapi pelbagai isu dan mendapatkan maklumbalas dengan cepat dan efektif terhadap keperluan dan perkhidmatan kepada masyarakat.

Dari dilihat sebagai badan kerajaan yang terendah, kerajaan tempatan seharusnya dan sepatutnya dilihat sebagai yang tertinggi dari segi penyediaan perkhidmatan dan keperluan masyarakat.

Sekiranya pihak berkuasa tempatan ingin berfungsi dengan efektif, mereka perlu bersedia menerima pandangan dan maklumbalas pihak awam.

Penglibatan rakyat di peringkat akar umbi dan maklumbalas mereka adalah kunci utama kepada Urus Tadbir yang baik. Ini amat penting terutamanya kerana kita belum mempunyai pihak berkuasa tempatan yang dipilih oleh rakyat. Kecuali terdapat penglibatan masyarakat pihak berkuasa tempatan tidak akan berfungsi dengan berkesan.

Indek Kepuasan Hati Penduduk yang dicadangkan untuk mengukur maklumbalas awam kepada perkhidmatan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan adalah satu langkah positif untuk menggalakkan penglibatan orang ramai di dalam kerajaan tempatan.

Kepentingan awam dapat dilindungi dengan lebih baik apabila semua pihak berkuasa tempatan memperbaiki mutu dan kualiti perkhidmatan mereka dengan menangani aduan yang disampaikan oleh orang ramai atau melalui pihak media.

Pihak berkuasa tempatan haruslah sentiasa prihatin terhadap aduan atau cadangan dan mengambil langkah untuk menyelesaikannya.

Semua pihak berkuasa tempatan dan sector awam keseluruhannya mesti berusaha bersungguh-sungguh untuk menerapkan etika kerja dan nilai murni di dalam organisasi masing-masing.

Kakitangan awam di dalam semua kerajaan tempatan mesti bangunkan satu budaya yang akan membantu untuk mewujudkan bukan sahaja satu badan kerajaan tempatan yang dedikasi, efisyen, telus dan beretika tetapi juga yang menekankan kepada integriti pengurusan.

Untuk mencapai objektif ini, satu budaya kerja yang berasakan ketelusan, kepercayaan, efisyen dan berdisiplin adalah perlu.

Semua jabatan di dalam kerajaan tempatan perlu bekerja keras untuk mencapai tahap aduan sifar di dalam usaha untuk menggalakkan dan meningkatkan nilai terbaik di dalam pihak berkuasa tempatan.

Usaha berterusan perlu dibuat untuk menerapkan integriti dan nilai etika di kalangan semua kakitangan pihak berkuasa tempatan supaya mereka dapat memberikan perkhidmatan cemerlang untuk memenuhi harapan orang ramai.

No comments: