Friday, August 15, 2008

Kemerdekaan Ke-51

Sambutan bulan kemerdekaan akan bermula tak lama lagi. Inilah masanya untuk rakyat Malaysia berbilang bangsa menonjolkan semangat patriotik dan kasih sayang terhadap negara. Bukan dengan cara paksaan, tetapi secara sukarela menyambut kelahiran Malaysia sebagai negara yang merdeka, apatah lagi negara kita menyambut ulangtahun ke-51 Kemerdekaan.

Di ketika negara merayakan 51 tahun Kemerdekaan, sesuailah masanya untuk seluruh rakyat memperkukuhkan semangat patriotic dan cinta kepada negara dengan perasaan penuh kebanggaan.

Menyemai kebanggaan pada bendera merupakan salah satu ciri penting dalam pembinaan negara. Rakyat Malaysia seharusnya berbangga dengan bendera kebangsaan mereka kerana ia merupakan lambang kemegahan dan patriotisme kepada negara yang baru dapat membantu usaha-usaha ke arah mempromosikan dan mengukuhkan lagi proses pembinaan negara dalam negara kita yang berbilang bangsa, agama dan budaya ini.

Bendera kebangsaan melambangkan kesetiaan, kesatuan dan patriotisme dan adalah penting untuk kita menanam semangat dan nilai-nilai nasionalisme dan patriotisme ini di kalangan generasi muda.

Salah satu cara untuk menjadikan generasi muda kita patriotik dan bersemangat nasionalisme adalah dengan mendidik mereka menghormati dan mencintai bendera. Menganjurkan kempen ‘Cintakan Bendera Kita’ di sekolah-sekolah, di kalangan anak-anak muda mustahak bagi memberikan mereka kefahaman tentang kepentingan bendera kebangsaan dan maskud di sebaliknya. Dan ini tidak seharusnya diadakan hanya bersempena dengan sambutan hari kemerdekaan, malah sepanjang tahun.

Bagi generasi lama, hari kebangsaan membawa ingatan kegigihan dan perjuangan menentang zaman penjajah dalam usaha mencapai kemerdekaan. Bagi mereka, ia melambangkan pengorbanan serta kebanggaan dengan apa yang telah dicapai selama ini.

Walau bagaimanapun, bagi generasi muda, terutamanya mereka yang lahir selepas 1957, kajian yang dijalankan oleh akhbar tempatan tidak lama dahulu menunjukkan bahawa walaupun kebanyakan anak-anak muda kita mempunyai semangat patriotik, mereka masih tidak memahami dan menghayati sepenuhnya erti sebenarnya kemerdekaan.

Bagi mereka hari kebangsaan hanya merupakan satu lagi cuti am- hari di mana mereka berpeluang berehat dan beriadah. Hanya segelintir sahaja yang benar-benar memahami maksud hari kebangsaan ini.

Oleh yang demikian, lebih banyak usaha harus diambil untuk menerangkan dan menjadikan mereka lebih peka dan menghargai serta menghayati erti sebenar hari kemerdekaan.

Setelah memperkatakan mengenai bendera kebangsaan dan pentingnya sebagai simbol negara, mengibar ‘Jalur Gemilang’ bukanlah satu-satunya cara menunjukkan semangat patriotik kepada negara.

Rakyat Malaysia boleh menonjolkan semangat patriotik mereka dalam kehidupan seharian seumpamanya, dalam pemikiran, percakapan dan tindakan mereka dalam membela dan mempertahankan kepentingan negara serta memajukan negara.

Rakyat Malaysia juga telah menonjolkan semangat patriotik mereka denga menyumbangkan pandangan dan pendapat mereka dalam apa yang mereka rasakan baik dan sihat untuk negara.

Menyatakan perasaan melalui saluran yang betul merupakan satu hak asasi yang seharusnya diamalkan oleh semua rakyat Malaysia yang patriotik, yang cintakan negara dan inginkan yang terbaik untuk negara. Dalam hal ini, menyatakan pendapat yang bertentangan demi kepentingan negara tidaklah menjadikan seseorang itu kurang patriotic. Dan kesetiaannya kepada negara tidak seharusnya dipersoalkan.

Dalam pada kita memperingati 51 tahun kenegaraan, kita hendaklah mengimbas kembali segala usaha kita dalam pembinaan negara pada zaman silam dan bersedia untuk mengharungi cabaran-cabaran akan datang. Rakyat Malaysia yang mempunyai latar belakang bangsa dan agama yang berlainan seharusnya memperbaharui azam mereka untuk membina sebuah Negara yang harmoni, bersatu padu dan progresif yang boleh menjadi kebanggaan kita bersama.

Malaysia hari ini tampak nyata sebagai contoh bagaimana pelbagai kumpulan etnik yang berbeza dapat hidup dan maju dalam suasana harmoni melalui kerjasama erat demi kemajuan dan kesejahteraan bersama.

Malaysia membuktikan bagaimana kepelbagaian ini dapat disatukan dan dimanfaatkan demi pembinaan Negara.

Setelah mencapai kenegaraan selama 51 tahun, kita hendaklah meneruskan usaha dengan penuh semangat dan tekad untuk menjadikan negara kita yang berbilang bangsa sebuah negara Malaysia bersatu yang berkongsi matlamat dan cita-cita.

No comments: