Thursday, August 28, 2008

UCAPAN DI MAJLIS PERHIMPUNAN PERPADUAN WARGA OUM SEMPENA SAMBUTAN BULAN KEMERDEKAAN

Rakyat Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-51 pada 31hb Ogos 2008. Sebagai rakyat Malaysia kita harus bersyukur kerana sejak Negara Kita mencapai kemerdekaan pada 1957, negara berada dalam keadaan aman dan damai tanpa menghadapi banyak pemasalahan besar yang boleh menggugat keharmonian negara.

Malaysia pada hari ini adalah satu-satunya negara yang boleh dijadikan contoh di dunia ini bagaimana rakyat yang berbilang kaum dapat hidup bersama di dalam kedamaian dan keharmonian dan berusaha bersama-sama untuk kemajuan dan kesejahteraan negara ini.

Sebagai sebuah negara yang mempunyai rakyat yang berbilang kaum, agama dan bahasa, Malaysia sesungguhnya adalah negara yang sangat unik di dalam membuktikan bagaimana kepelbagaian kita dapat disatukan dan dijana untuk membangunkan negara.

Walaupun terdapat pegangan politik dan pandangan yang berbeza, kita masih dapat menerima perbezaan tersebut dan menghormati di antara satu sama lain.

Masyarakat kita adalah masyarakat yang bertoleransi, bertolak ansur dan hormat-menghormati dan kita perlu memupuk dan mengeratkan lagi persefahaman dan kepercayaan antara kaum di negara kita.

Salah satu dari cabaran yang paling besar digariskan di dalam Wawasan 2020 ialah bagaimana hendak membangunkan negara Malaysia bersatu “Satu negara yang aman, bersatu-padu di antara wilayah dan kaum-kaum di dalamnya, hidup di dalam harmoni dengan perkongsian penuh dan adil dan terdiri dari satu “Bangsa Malaysia” yang taat dan setia kepada negara ini.”

Persefahaman dan perpaduan adalah sangat penting dan merupakan faktor utama kejayaan Malaysia. Samada Malaysia akan menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020 bergantung kepada beberapa faktor, dan yang terpenting sekali adalah persefahaman dan perpaduan di kalangan rakyatnya berbilang kaum.

Oleh yang demikian, persefahaman dan perpaduan perlu dijadikan asas kepada semua aktiviti oleh semua faktor di dalam negara ini. Rakyat perlu memahami peranan dan sumbangan mereka terhadap perpaduan negara yang merupakan tonggak asas pembangunan negara. Pembangunan negara tidak akan bermakna tanpa persefahaman, harmonis, tolak ansur dan kepercayaan di kalangan rakyat yang berbilang kaum.

Sifat perkauman adalah merupakan penghalang yang besar terhadap perpaduan negara dan setiap rakyat Malaysia hendaklah bertekad memerangi sifat perkauman ini sama seperti kita memerangi ancaman penyalahgunaan dadah dan jenayah.

Proses untuk membangunkan sebuah negara Malaysia yang bersatu adalah proses yang berterusan dan apa yang telah kita capai setakat ini hendaklah dipelihara dan dibajai supaya lebih subur.

Dalam hubungan ini para pemimpin, perancang dan pelaksana dasar dan rancangan hendaklah komited terhadap prinsip bahawa pemikiran dan amalan mereka selalu berpandukan dan ditentukan oleh tata amalan RUKUN NEGARA DAN KEMULIAAN PERLEMBAGAAN NEGARA.

Semua rancangan untuk pembangunan dan pelaksanaan dasar terhadap ketidakseimbangan sosial hanya akan memberi makna sekiranya ia digubal dan dirancang dengan semangat untuk mencapai perpaduan negara.

Program-program pembangunan yang dirancang untuk rakyat hendaklah terus digubal dengan tujuan untuk memupuk dan menyemai semangat perpaduan dan kecintaan serta kesetiaan kepada negara dan kebanggaan menjadi rakyat Malaysia.

Semangat patriotik (cintakan tanah air) hendaklah sentiasa dipupuk dan dibajai, dan rakyat hendaklah terus mengeratkan perpaduan kaum dan persefahaman dan perasaan hormat menghormati terhadap kepercayaan (agama) masing masing pada semua peringkat.

Pendidikan merupakan proses yang penting bagi menyemai dan memupuk benih-benih perpaduan di kalangan rakyat di samping membudayakan nilai-nilai positif. Dasar pendidikan harus menyediakan individu-individu yang sempurna dari segi intelek, jasmani dan rohani. Untuk menyatu-padukan masyarakat melalui pendidikan, harus diteruskan langkah-langkah berikut:-

1) Memastikan program-program pendidikan dan latihan guru di semua peringkat dari sekolah, ke kolej, dan universiti ditujukan kepada perpaduan negara.
2) Meningkatkan pengintegrasian murid-murid semua kaum di dalam aktiviti ko-kurikulum/pertubuhan dalam kelas dan di asrama.
3) Meningkatkan pengajaran nilai-nilai bersama dan adapt resam kaum di semua sekolah.
4) Menolak penubuhan kelab/persatuan perkauman atau tidak membenarkan aktiviti bercorak perkauman di sekolah/ IPTA/IPTS.
5) Membendung polarisasi kaum inter dan intra antara pelajar baik di peringkat seklah rendah, menengah, kolej atau di IPTA/IPTS dengan melaksanakan aktiviti berinteraksi antara satu sama lain termasuk berkongsi asrama di IPTA/IPTS.
6) Membentuk Kelab-Kelab perpaduan di sekolah rendah, menengah, kolej serta di IPTA/IPTS bagi tujuan memupuk perpaduan di kalangan pelajar.

Pembangunan sosial melalui aktiviti kemasyarakatan seperti sukan, lawatan, khemah kerja, penubuhan organisasi masyarakat, majlis-majlis muhibah, hari perayaan, gotong-royong dan lain-lain perlu diteruskan untuk meningkatkan integrasi masyarakat dan mengekalkan semangat kejiranan.

Perpaduan negara merupakan perkara yang terpenting untuk mencapai keadaan keamanan, kestabilan dan kesejahteraan negara ke arah pembentukan bangsa Malaysia seperti termaktub dalam Wawasan 2020. Perpaduan negara wajib dipelihara dan dipertingkatkan melalui beberapa strategi dan cadangan-cadangan seperti berikut:-

1) Kajian dan penyelidikan mengenai tahap perpaduan perlu dijalankan dari masa ke semasa dan mewujudkan instrument untuk mengukur perpaduan.
2) Mewujudkan mekanisme pemantauan perpaduan secara berterusan dan sistematik.
3) Mewujudkan saluran di peringkat nasional, negeri dan daerah untuk membincangkan isu-isu berkaitan perpaduan.

Malaysia mempunyai harapan tinggi agar masyarakat bersatu-padu, dinamik dan progresif di alaf baru ini. Harapan itu terletak pada kesediaan rakyat berbilang kaum dan pemimpin-pemimpin mereka mengamalkan sikap kerjasama, tolak-ansur dan akomodasi. Kini Malaysia adalah negara contoh yang berjaya menguruskan hubungan etnik berbanding dengan negara-negara lain.

Perpaduan negara adalah tanggungjawab dan iltizam setiap individu. Masyarakat Malaysia harus bersedia bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi juga sosial dan psikologi bagi menghadapi cabaran abad yang baru dalam menuju ke arah tahun 2020 dengan lebih keyakinan.

Akhir kata iltizam politik atau ‘political will’ merupakan unsur yang paling penting untuk memastikan negara bersatu padu ke arah merealisasikan Wawasan 2020. Perpaduan negara dan integrasi nasional adalah kewajipan semua.

Keamanan yang kita kecapi sekarang ini hanya akan dapat bertahan jika setiap orang daripada kita rakyat Malaysia berusaha mengekalkan keharmonian ini.

TEMA merdeka tahun ini “PERPADUAN TERAS KEJAYAAN” amat bertepatan di saat negara menghadapi berbagai cabaran disebabkan oleh isu ekonomi seperti kenaikan harga minyak serta pergolakan politik dalaman negara.

Sepertimana yang saya telah menyatakan, amalan bertolak ansur dan toleransi penting demi mengelak pertelingkahan dan perselisihan faham. Ini dapat mengujudkan keharmonian antara masyarakat berbilang kaum.

Perbalahan antara kaum akan membawa padah pada kestabilan negara seperti sejarah hitam Peristiwa 13 Mei 1969 disebabkan rusuhan kaum yang mengakibatkan kehilangan nyawa dan harta benda. Ia nya membawa kesan mendalam dalam keharmonian masyarakat di negara ini.

Rakyat Malaysia perlu menghormati antara satu sama lain tanpa mengira kedudukan, latarbelakang budaya, agama dan bangsa.

Rakyat Malaysia terutamanya golongan belia dan remaja juga perlu berdisiplin dan bersedia memainkan peranan dalam membina sebuah masyarakat yang berakhlak, berilmu dan mempunyai jati diri yang tinggi.

Bagi mengekalkan keharmonian dan keamanan negara, kita mesti memastikan ujudnya sebuah bangsa yang ditunjangi oleh perpaduan dan persefahaman semua anggota masyarakatnya.

Usaha bagi mengujud satu BANGSA MALAYSIA mungkin sukar dicapai jika orang Melayu bangga dengan keMelayuannya, Cina dengan KeCinaannya, Iban dengan keIbanannya.

Kepelbagaian kaum ini mungkin keunikan pada Malaysia tapi tanpa rasa sifat persefahaman yang kukuh, hasrat untuk mengujud Bangsa Malaysia mungkin tidak dapat direalisasikan.

Menyedari hakikat ini, satu program dinamakan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bagi membolehkan kalangan pelajar bergaul dan berinteraksi dalam satu persekitaran yang sama demi memupuk sifat persefahaman, kerjasama dan perpaduan antara mereka.

Program tiga bulan ini membolehkan muda mudi dari pelbagai kaum bekerja dan bermain dalam satu persekitaran yang sihat yang dapat membina jati diri mereka dan secara tidak langsung mengeratkan lagi perhubungan kaum antara mereka.

Sempena sambutan bulan kemerdekaan saya berpendapat lebih banyak usaha harus diambil untuk menerangkan dan menjadikan generasi muda memahami serta menghayati erti sebenar hari kemerdekaan.

Bagi generasi lama, Hari Kebangsaan membawa ingatan kegigihan dan perjuangan menentang zaman penjajah dalam usaha mencapai kemerdekaan. Bagi mereka, ia melambangkan pengorbanan serta kebanggaan dengan apa yang telah dicapai selama ini.

Walau bagaimanapun, bagi generasi muda, terutamanya mereka yang lahir selepas 1957, kajian yang dijalankan oleh akhbar tempatan tidak lama dahulu menunjukkan bahawa walaupun kebanyakan anak-anak muda kita mepunyai semangat patriotik, mereka masih tidak memahami dan menghayati sepenuhnya erti sebenarnya kemerdekaan.

Bagi mereka Hari Kebangsaan hanya merupakan satu lagi cuti am - hari di mana mereka berpeluang berehat dan beriadah. Hanya segelintir sahaja yang benar-benar memahami maksud Hari Kebangsaan ini.

Mengibar ‘Jalur Gemilang’ bukanlah satu-satunya cara menunjukkan semangat patriotik kepada negara.

Rakyat Malaysia boleh menonjolkan semangat patriotik mereka dalam kehidupan seharian seumpamanya, dalam pemikiran, percakapan dan tindakan mereka dalam membela dan mempertahankan kepentingan negara serta memajukan negara.

Rakyat Malaysia juga telah menonjolkan semangat patriotik mereka dengan menyumbangkan pandangan dan pendapat mereka dalam apa yang mereka rasakan baik dan sihat untuk negara.

Menyatakan perasaan melalui saluran yang betul merupakan satu hak asasi yang seharusnya diamalkan oleh semua rakyat Malaysia yang patriotik, yang cintakan negara dan inginkan yang terbaik untuk negara. Dalam hal ini, menyatakan pendapat berbeza demi kepentingan negara tidaklah menjadikan seseorang itu kurang patriotik dan kesetiaannya kepada negara tidak seharusnya dipersoalkan.

Dalam pada kita memperingatkan 51 tahun kenegaraan, kita hendaklah mengimbas kembali segala usaha kita dalam pembinaan negara pada zaman silam dan bersedia untuk mengharungi cabaran-cabaran akan datang. Rakyat Malaysia yang mempunyai latar belakang bangsa dan agama yang berlainan seharusnya memperbaharui azam mereka untuk membina sebuah Negara yang harmoni, bersatu padu dan progresif yang boleh menjadi kebanggaan kita bersama.

Malaysia membuktikan bagaimana kepelbagaian ini dapat disatukan dan dimanfaatkan demi pembinaan Negara.

Setelah mencapai kenegaraan selama 51 tahun, kita hendaklah meneruskan usaha dengan penuh semangat dan tekad untuk menjadikan negara kita yang berbilang bangsa sebuah negara Malaysia bersatu yang berkongsi matlamat dan cita-cita.

Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-51. Walaupun negara kita ada kekurangannya, ia sudah berjaya menghadapi pelbagai cabaran dan membangunkan asas untuk mencapai keharmonian kaum dan perpaduan.

Marilah kita memelihara dan melindungi apa yang telah kita capai setakat ini dengan semangat persefahaman dan tolak ansur. Janganlah kita membenarkan fahaman dan tindakan ekstrem di dalam bentuk apa pun, memecah-belahkan negara yang kita cintai kerana ini adalah tempat kita dilahirkan, tempat kita tinggal dan bekerja dan akhirnya tempat kita akan disemadikan.

Ketika semua rakyat Malaysia pelbagai kaum sekali lagi merayakan Hari Kemerdekaan kita, saya ingin menekankan sekali lagi asas-asas yang telah menyatukan kita bersama iaitu prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara.

Rukun Negara diasaskan pada 1970 bertujuan mewujudkan satu tahap persefahaman yang minimum terhadap aspirasi nasional di kalangan berbagai komuniti di Malaysia tanpa mengira kaum atau daerah masing-masing.

Selain daripada mencapai tahap perpaduan yang lebih tinggi, mengekalkan demokrasi sebagai cara hidup, mewujudkan masyarakat yang adil, satu pendekatan yang liberal terhadap budaya dan tradisi serta membangunkan masyarakat yang progresif, berorientasikan sains dan teknologi moden, Rukun Negara juga bertujuan dijadikan panduan negara berasaskan prinsip Kepercayaan kepada Tuhan; Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang dan Kesopanan dan Kesusilaan.

Rukun Negara yang membolehkan Malaysia menyatu-padukan rakyatnya yang pelbagai kaum dan agama serta menjadi prinsip asas kepada kenegaraan perlu disemaikan di sanubari generasi muda kita yang akan menjadi pemimpin negara pada masa akan datang.

Ia adalah panduan kita untuk membangunkan negara dan perlu dihormati serta dihayati semua pihak. Ia juga adalah wawasan yang dikongsi untuk perpaduan negara. Prinsip-prinsipnya perlu didukung dan dipraktikkan kerana kita tidak boleh menjadi leka dengan kestabilan, keamanan dan keharmonian yang kita telah capai setakat ini.

Sebenarnya ramai yang mengambil mudah soal perpaduan. Ini adalah satu perkembangan yang tidak sihat kerana di dalam sesebuah negara pelbagai kaum, agama dan budaya seperti Malaysia, usaha berterusan perlu dilakukan untuk memelihara dan mengukuhkan perpaduan.

Proses membangunkan Malaysia yang bersatu-padu adalah satu proses berterusan dan apa yang dicapai setakat ini perlu dipelihara dan diperkukuhkan.

Pada masa depan, usaha mewujud dan mengekalkan perpaduan nasional mesti diberi keutamaan yang paling tinggi kerana perpaduan amat penting untuk memastikan kesinambungan pembanguan Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat, aman, progresif dan bersatu-padu.

Perpaduan adalah merupakan satu hadiah yang tidak ternilai dan merupakan symbol kemanusiaan kita. Ia adalah asas yang mana kita membina hubungan, keluarga, masyarakat dan negara. Ia adalah ikatan yang mengikat dan mengukuhkan kenegaraan kita.

Perpaduan perlu bermula dari setiap individu. Jika ada perpaduan di dalam pemikiran emosi dan perbuatan seseorang, ia akan diluahkan di dalam perlakuannya terhadap orang lain.

Marilah kita bersama-sama sebagai rakyat Malaysia memperkukuhkan perpaduan. Kita mesti memulakan bersuara dengan satu suara yang merangkumi semua rakyat Malaysia pelbagai kaum. Kita semua menyumbang ke arah kestabilan dan kemakmuran ekonomi negara ini. Marilah kita sama-sama mengukuhkan komitmen untuk meningkatkan budaya keamanan, keharmonian dan perpaduan.

Perpaduan boleh menjadi rapuh dan pecah dengan mudah atau ia boleh menjadi sauh yang mengikat kuat sesebuah negara. Pilihan ini terletak kepada kita semua.

No comments: