Friday, August 15, 2008

UCAPAN DI MAJLIS PERASMIAN KELAB PENCEGAHAN JENAYAH SEKOLAH DAN PELANCARAN BULAN KEMERDEKAAN SEKOLAH KEBANGSAAN ST. JOHN (1)

Sesebuah negara yang merdeka seharusnya dapat menikmati dan menghayati kemerdekaan sebenar-benarnya dari sudut kebebasan termasuk kebebasan bergerak dan tidak di kongkong dengan perasaan takut.

Sejak akhir-akhir ini kita di belenggu oleh perasaan takut kepada jenayah sehingga menyebabkan kehidupan sebagai rakyat yang merdeka tersekat.

Memandangkan kadar jenayah di kalangan remaja masa kini semakin meningkat, penubuhan Kelab Pencegahan Jenayah (KPJ) di Sekolah-sekolah difikirkan perlu bagi memberi kesedaran pencegahan jenayah pada peringkat awal di kalangan pelajar sekolah.

Penubuhan KPJ di peringkat sekolah-sekolah adalah salah satu projek Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) yang telah diwujudkan pada tahun 1999 dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia.

Kementerian Pelajaran Malaysia, melalui Surat Pekeliling Ikhtisan Bil. 7/1999, bertarikh 10hb Jun 1999, telah menyarankan semua sekolah menengah di seluruh negara supaya menubuhkan KPJ. MCPF menyumbangkan sebanyak RM100.00 kepada setiap KPJ yang telah ditubuhkan sekaligus.

Matlamat penubuhan KPJ adalah untuk membentuk masyarakat pelajar yang mempunyai kesedaran tinggi terhadap pencegahan jenayah dan mempunyai kefahaman mengenai penguatkuasaan undang-undang dalam konteks mewujudkan masyarakat mematuhi kepada undang-undang dan yang harmoni dan aman.

Objektif Kelab Pencegahan Jenayah adalah berikut:-

● Memupuk rasa patuh kepada peraturan dan Undang-undang Negara.

● Melahirkan kesedaran dan rasa tanggungjawab dalam pencegahan jenayah.

● Melahirkan pelajar yang bertanggungjawab kepada masyarakat dan negara.

● Untuk mendidik agar pelajar-pelajar tidak terlibat dalam kegiatan jenayah.

● Menanamkan nilai-nilai moral yang tinggi di kalangan pelajar tentang pencegahan jenayah dan menggalakkan mereka menjalankan aktiviti yang berfaedah.

Bilangan kes jenayah yang melibatkan murid sekolah sebagaimana yang sering dilaporkan oleh media telah meningkat serta membangkitkan kebimbangan banyak pihak.

MCPF berpendapat gejala anti sosial ini perlu diberi perhatian serius dan ditangani secara menyeluruh dan bersepadu oleh semua pihak.

Kesedaran murid akan implikasi negative terhadap perlakuan jenayah perlu dipertingkatkan agar mereka tidak terjebak dalam kegiatan anti sosial.

Sasaran penubuhan kelab ini adalah bertujuan untuk membangkitkan kesedaran dan kepekaan murid terhadap kemungkinan wujudnya gejala anti sosial di sekeliling mereka dan adalah juga diharapkan agar kerjasama yang erat antara pihak sekolah dan polis dapat diselaraskan dalam usaha membenteras perbuatan jenayah sama ada di dalam atau di luar kawasan sekolah.

Melalui penerapan nilai moral yang baik dan penekanan kepada pentingnya sikap yang jujur, Kelab Pencegahan Jenayah akan dapat membantu pencegahan jenayah dan mewujudkan budaya anti jenayah.

Keutamaan penubuhan kelab diberi kepada sekolah-sekolah yang berada dalam kawasan yang berisiko tinggi. Penasihat kelab hendaklah terdiri daripada guru sekolah dan Pegawai Perhubungan Polis yang berhampiran.

Guru Penasihat hendaklah menjadi penggerak utama dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pengurusan, perjalanan dan pelaksanaan pelbagai kegiatan kelab. Keahlian kelab adalah terbuka kepada SEMUA murid di sekolah berkenaan.

Kelab-kelab ini bukan sahaja menjadi pemangkin terhadap pencegahan tetapi juga akan menyumbangkan terhadap mencapai matlamat generasi yang bebas dari jenayah di masa depan.

Pencegahan jenayah mestilah dijadikan sebahagian dari aktiviti sekolah dan persatuan PIBG. Dengan bantuan dari polis, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), ibubapa dan guru, kelab-kelab ini boleh menjayakan pelbagai aktiviti seperti ceramah, lawatan sambil belajar, pameran dan pertandingan menulis esei pencegahan jenayah dan menetapkan sasaran-sasaran untuk mencapai tahap bebas jenayah di sekolah.

Konsep ‘Melentur Buluh Biar Dari Rebungnya’ menjadi matlamat kita dan harus ditujukan kepada para pelajar dan remaja agar mereka dapat membesar dan dapat membina generasi yang benar-benar cemerlang serta berguna. Kemajuan yang kita kecapi hari ini, tidak akan bertahan seandainya generasi muda yang bakal menggantikan tempat ini nanti rapuh akhlaknya dan hilang nilai-nilai positif kemanusiaan.

Oleh itu, adalah menjadi harapan saya, agar kita sama-sama dapat menghayati dan saling bantu-membantu menjayakan projek mulia ini.

Kita harus bersama-sama membantu generasi muda dalam landasan kehidupan masa kini dan masa akan datang dengan betul.

Kecemerlangan akademik yang dipertaruhkan dalam diri para pelajar dan remaja masa kini biarlah seiring dengan kesedaran membina jati diri yang kukuh dari hentakan arus kemajuan yang tidak dapat di sekat alirannya.

Pemantauan kepada projek Kelab Pencegahan Jenayah ini nanti, akan disusuli oleh beberapa aktiviti seperti penglibatan terus pihak polis melalui pegawai perhubungan sekolah-sekolah, dan MCPF dalam memastikan para pelajar atau golongan remaja ini diberikan dengan semua maklumat mengenai pencegahan jenayah, kesan dan akibat jenayah dalam diri pelajar agar mereka dapat membanteras jenayah setiap masa dan menjauhi terus jenayah itu dalam kehidupan mereka.

Pendidikan di Malaysia ialah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis, dari segi intelek, rohani dan jasmani berdasarkan prinsip Rukun Negara.

Kepercayaan kepada Tuhan
Kesetiaan kepada Raja dan Negara
Kehuluran Perlembagaan
Kedaulatan Undang-undang
Kesopanan dan Kesusilaan

Prinsip Rukun Negara perlu sentiasa dihidupkan bagi mengisi erti kata sebenar kemerdekaan. Prinsip yang ke-empat iaitu Kedaulatan Undang-undang perlu ditekankan di dalam melaksanakan program pencegahan jenayah di peringkat sekolah lagi. Ia menjadi landasan penghayatan pematuhan undang-undang dan panduan pencegahan yang amat berkesan.

Sambutan bulan kemerdekaan akan bermula tak lama lagi. Inilah masanya untuk rakyat Malaysia berbilang bangsa menonjolkan semangat patriotik dan kasih sayang terhadap negara. Bukan dengan cara paksaan, tetapi secara sukarela menyambut kelahiran Malaysia sebagai negara yang merdeka, apatah lagi negara kita menyambut ulangtahun ke-51 Kemerdekaan.

Di ketika negara merayakan 51 tahun Kemerdekaan, sesuailah masanya untuk seluruh rakyat memperkukuhkan semangat patriotic dan cinta kepada negara dengan perasaan penuh kebanggaan.

Menyemai kebanggaan pada bendera merupakan salah satu ciri penting dalam pembinaan negara. Rakyat Malaysia seharusnya berbangga dengan bendera kebangsaan mereka kerana ia merupakan lambang kemegahan dan patriotisme kepada negara yang baru dapat membantu usaha-usaha ke arah mempromosikan dan mengukuhkan lagi proses pembinaan negara dalam negara kita yang berbilang bangsa, agama dan budaya ini.

Bendera kebangsaan melambangkan kesetiaan, kesatuan dan patriotisme dan adalah penting untuk kita menanam semangat dan nilai-nilai nasionalisme dan patriotisme ini di kalangan generasi muda.

Salah satu cara untuk menjadikan generasi muda kita patriotik dan bersemangat nasionalisme adalah dengan mendidik mereka menghormati dan mencintai bendera. Menganjurkan kempen ‘Cintakan Bendera Kita’ di sekolah-sekolah, di kalangan anak-anak muda mustahak bagi memberikan mereka kefahaman tentang kepentingan bendera kebangsaan dan maskud di sebaliknya. Dan ini tidak seharusnya diadakan hanya bersempena dengan sambutan hari kemerdekaan, malah sepanjang tahun.

Bagi generasi lama, hari kebangsaan membawa ingatan kegigihan dan perjuangan menentang zaman penjajah dalam usaha mencapai kemerdekaan. Bagi mereka, ia melambangkan pengorbanan serta kebanggaan dengan apa yang telah dicapai selama ini.

Walau bagaimanapun, bagi generasi muda, terutamanya mereka yang lahir selepas 1957, kajian yang dijalankan oleh akhbar tempatan tidak lama dahulu menunjukkan bahawa walaupun kebanyakan anak-anak muda kita mempunyai semangat patriotik, mereka masih tidak memahami dan menghayati sepenuhnya erti sebenarnya kemerdekaan.

Bagi mereka hari kebangsaan hanya merupakan satu lagi cuti am- hari di mana mereka berpeluang berehat dan beriadah. Hanya segelintir sahaja yang benar-benar memahami maksud hari kebangsaan ini.

Oleh yang demikian, lebih banyak usaha harus diambil untuk menerangkan dan menjadikan mereka lebih peka dan menghargai serta menghayati erti sebenar hari kemerdekaan.

No comments: